X
Isnin, 15 Jun 2020 | 4:37pm
Khairul Hafiz Jantan masih belum boleh jalani latihan di trek.
Khairul Hafiz Jantan masih belum boleh jalani latihan di trek.

Skuad olahraga kena tunggu lagi

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga kebangsaan dijangka perlu menunggu sehingga Julai untuk memulakan latihan penuh walaupun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi kebanyakan aktiviti sukan dan rekreasi bermula hari ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Buat masa ini Majlis Sukan Negara (MSN) menumpukan dan mengutamakan keselamatan atlet di bawah program 'Road to Tokyo' (RTT) dengan menutup fasiliti di Bukit Jalil kepada atlet lain sehingga kem latihan khas itu tamat pada 30 Jun ini.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan MSN dalam masa terdekat untuk membincangkan tarikh sesuai bagi memulakan latihan dan prosedur operasi standard (SOP) yang terlibat.

"Buat masa ini belum mula latihan lagi, mungkin perlu menunggu sehingga kem latihan khas RTT di Bukit Jalil tamat kerana mereka menjalani latihan secara kuarantin. Kita perlu ikuti prosedur yang lengkap termasuk mendapatkan kebenaran kerajaan, terutamanya Majlis Keselamatan Negara untuk memulakan latihan.

"Bagaimanapun, atlet kita tetap meneruskan latihan sendiri di rumah dan kawasan yang bersesuaian di bawah pemantauan jurulatih masing-masing. Jurulatih menghantar laporan latihan kepada saya dan MSN setiap minggu," katanya kepada Bernama.

Pasukan olahraga kebangsaan dibarisi kira-kira 50 atlet termasuk atlet elit dan dan pelapis dengan kebanyakan mereka mengikuti latihan di MSN, Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Semua atlet kebangsaan diminta mengosongkan bilik asrama masing-masing dan dihantar pulang sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac, dan kini hanya atlet dalam persiapan ke Olimpik di bawah Program RTT sahaja kembali menjalani latihan di Bukit Jalil, Bukit Kiara (badminton) dan Langkawi (pelayaran).

Ditanya jika ada cadangan untuk mengadakan latihan di venue alternatif, Mohd Manshahar berkata banyak aspek yang perlu dinilai seperti SOP, kelengkapan dan peralatan latihan serta penginapan untuk berbuat demikian.

"Saya harap atlet akan kekalkan motivasi mereka dan berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan latihan penuh kerana semua perancangan akan dibuat oleh kami," katanya.

Berita Harian X