Selasa, 23 Jun 2020 | 3:33pm
KETUA jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil.
KETUA jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil.

Skuad olahraga masih tunggu 'lampu hijau' MSN

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum kembali menyambung latihan di Bukit Jalil sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun hadapan.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil memaklumkan, barisan kejurulatihan masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada MSN walaupun Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S M Muthu baru-baru ini mendakwa skuad kebangsaan akan memulakan latihan pada 1 Julai ini.

Buat masa ini, kemudahan di Bukit Jalil hanya dibuka kepada atlet di bawah kem latihan pusat program 'Road to Tokyo' (RTT) 2020 sehingga program berkenaan tamat pada 30 Jun ini.

"Setakat ini, kita masih menunggu kata putus daripada MSN sebelum atlet kita dibenar meneruskan latihan di Bukit Jalil. Saya tidak pasti sama ada KOM sudah menghantar permohonan latihan atau tidak kepada MSN.

"Kita kena jelas, selagi MSN tidak keluarkan sebarang arahan, maka atlet kita hanya akan meneruskan latihan seperti biasa di kawasan masing-masing," jelas Mohd Manshahar ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, bekas atlet kebangsaan itu mendedahkan kenyataan jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei baru-baru ini yang meluahkan kekecewaan selepas tidak disenaraikan dalam Program RTT 2020 lebih bersifat peribadi, namun memahami tindakan atlet kelahiran Kajang, Selangor itu berbuat demikian.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan edisi 2012 di London, meluahkan rasa kecewa setelah namanya tidak tersenarai dalam program berkenaan yang bermula sejak 8 Jun lepas di MSN, Bukit Jalil.

"Beliau (Hup Wei) ada menghubungi saya dan memaklumkan kekecewaannya tidak dapat menyertai program berkenaan. Namun beliau harus faham hanya atlet yang layak secara merit sahaja, selain sukan tertentu dibenarkan menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan MSN bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

"Bagi saya, peluang Hup Wei ke Tokyo masih belum tertutup rapat kerana terdapat beberapa kejohanan kelayakan pada awal tahun hadapan," jelas Mohd Manshahar.

Setakat ini, tiada atlet olahraga negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA

Berita Harian X