Jumaat, 3 Julai 2020 | 5:53pm
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto Owee Ah Chun
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Skuad olahraga teruja kembali berlatih

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara teruja untuk ke kembali menjalani latihan di trek dan balapan selepas tiga bulan terpaksa 'berkurung' susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, percaya atlet akan mengikut semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Untuk peringkat awal, latihan kembali kepada asas dengan membuat persediaan daripada aspek fizikal terlebih dahulu selain melakukan ujian kecergasan.

"Buat masa ini tiada kejohanan disasarkan. Kemungkinan sehingga Disember atau awal Januari 2021 baru ada kejohanan," katanya kepada BH Sukan.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi atlet program Road to Tokyo (RTT), Podium dan pelapis kebangsaan secara berperingkat bermula Ahad ini.

Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih daripada kalangan atlet elit di bawah program RTT, Podium dan pelapis kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan secara sepenuh masa di semua pusat latihan ditetapkan - Kompleks MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran Kebangsaan di Langkawi.

Berita Harian X