Sabtu, 11 Julai 2020 | 9:04pm
Gambar fail, Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Mohd Manshahar Abd Jalil di MSN Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Mohd Manshahar Abd Jalil di MSN Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Atlet olahraga kembali berlatih Isnin

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara sudah mendapat lampu hijau untuk memulakan latihan di trek dan balapan, Isnin ini.

Ini selepas semua atlet olahraga di bawah program Podium dan pelapis kebangsaan yang melaporkan diri untuk kembali menjalani latihan pada 6 Julai lalu disahkan negatif daripada COVID-19, semalam.

"Selepas mendapat keputusan ujian saringan COVID-19, semalam, taklimat SOP (prosedur operasi standard) dan perancangan latihan bersama MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) sudah diadakan.

"Jadi, latihan sepenuhnya akan dijalankan bermula pada Isnin ini," kata ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil kepada BH Sukan.

Kebenaran diberikan kerajaan untuk atlet kembali berlatih tepat pada masanya khususnya buat skuad olahraga negara bagi melakukan persiapan memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Empat atlet olahraga negara dilihat berpotensi layak secara merit ke Tokyo iaitu dua atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa selain Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) serta Andre Anura (lompat jauh).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X