Isnin, 13 Julai 2020 | 9:19pm
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin (dua dari kiri) bersama kakitangan melawat Rabuan di PPUM. - Foto YAKEB
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin (dua dari kiri) bersama kakitangan melawat Rabuan di PPUM. - Foto YAKEB

Doakan legenda kita...

KUALA LUMPUR: Bekas Raja Pecut Asia, Datuk Rabuan Pit akan menjalani prosedur 'angiogram' di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami simptom sesak nafas dan sakit dada.

Perkembangan itu dikongsikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menerusi laman media sosialnya selepas menziarahi Rabuan, hari ini.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf menjelaskan Rabuan terlebih dahulu dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah selepas menunjukkan simptom penyakit jantung sebelum ini.

"Selepas rentas negeri dibenarkan, beliau ke Kuala Pilah untuk bertemu saudara mara dan di sana, beliau mengalami simptom sesak nafas dan sakit dada sekali gus dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah.

"Selepas dibenarkan keluar dan pulang ke Kuala Lumpur, beliau mengalami simptom yang sama sekali lagi dan kali ini dikejarkan ke PPUM di mana esok beliau akan menjalani prosedur 'angiogram.'

"Sekiranya beliau dikehendaki menjalani prosedur memasukkan belon atau 'stent', ini adalah kali kedua beliau menjalani prosedur terbabit selepas kali pertama ia dijalankan di hospital yang sama, dua tahun lalu.

"Justeru, kami berharap semua pihak mendoakan segala urusan beliau dipermudahkan dan kembali sihat," katanya.

Sebagai rekod, anak kelahiran Melaka itu menggondol pingat emas dalam acara 100 meter (m) pada temasya Sukan Asia 1982 yang berlangsung di New Delhi.

Berita Harian X