Khamis, 27 Julai 2017 | 5:37pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun
 PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Owee Ah Chun
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Owee Ah Chun

Hentikan spekulasi kecederaan Jin Wei - Norza

KUALA LUMPUR: Segala spekulasi yang timbul mengenai kecederaan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei perlulah berdasarkan fakta dan bukti.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, dia tidak mahu spekulasi mengenai kecederaan buku lali kiri pemain itu yang berkemungkinan kepenatan disebabkan jadual padat berterusan.

"Saya katakan kepada semua orang, kita mestilah cakap berdasarkan bukti dan fakta. Saya nak tengok dulu keputusan imbasan MRI (Pengimejan Resonan Magnetik) daripada Institut Sukan Negara (ISN) dahulu.

"Sama ada dia terlebih penat atau tidak, seperti saya katakan kalau ada enam ke tujuh kejohanan anda (Jin Wei) tidak pergi ke final, mungkin ia ada membabitkan isu kecederaan atau tahap pemikiran yang belum diselesaikan," katanya selepas majlis penajaan Bata kepada kontinjen negara ke Sukan SEA 2017 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Norza berkata, selain kemungkinan kepenatan, dia turut meminta bantuan pakar psikologi ISN untuk menilai keupayaan Jin Wei dalam menghadapi tekanan secara keseluruhan.

Secara peribadi, Norza berkata dia bersimpati terhadap Jin Wei yang masih perlu bertanding di peringkat remaja dan pada masa yang sama diberi tanggungjawab mewakili negara di peringkat senior.

"Dia baru berumur 17 tahun dan dia juga pelajar sekolah. Apabila kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, salah satu daripada perbincangan adalah untuk perkuatkan pasukan remaja dan kementerian meminta Jin Wei mewakili Malaysia (di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG)).

"Di peringkat senior, kita tidak mempunyai pemain senior yang ke hadapan, membuatkan kita juga meletakkan tanggungjawab ke atas Jin Wei sebagai wakil negara di peringkat senior. Jadi dia ada dua tanggungjawab," katanya.

Jin Wei menyertai ASG di Singapura minggu lalu dan mengalami kecederaan ketika bertemu Indonesia pada separuh akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, baru-baru ini.

Sementara itu, Norza juga mengesahkan peletakan jawatan pemain perseorangan lelaki kebangsaan, R Satheishtharan hari ini

Katanya, Satheistharan, 20, mengundur diri dengan memberi alasan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Help.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X