Selasa, 1 Ogos 2017 | 3:53pm
Datuk Misbun Sidek. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Jun Hao boleh jadi macam Chong Wei - Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan Leong Jun Hao boleh menjadi seperti idolanya, Datuk Lee Chong Wei tetapi dengan syarat juara remaja Asia itu perlu menjaga disiplin.

Menurutnya, bintang muda mahu menjadi seperti Chong Wei satu perkara biasa namun Jun Hao harus mengambil iktibar di atas kejayaannya itu dan menjadikannya sebagai asas kekuatan sebelum berada sebaris dengan pemain senior.

"Dia boleh untuk masuk ke skuad elit jika dia memberi tumpuan dengan segala nasihat yang saya berikan seperti jaga disiplin dan tahu apa yang dikehendakinya," katanya kepada media ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Misbun berkata, jika dibantu dari segi kepakaran, mental dan persiapan diri Jun Hao mampu untuk pergi lebih jauh.

"Bilangan jurulatih agak terhad, apa yang boleh kita berikan kepadanya adalah latihan teknikal peringkat asas bukannya pengkhususan. Sebenarnya jika kita ada ramai bilangan jurulatih barulah boleh buat pengkhususan tapi 16 pemain dalam satu bumbung ia lebih terarah kepada latihan asas.

"Chong Wei sendiri memerlukan dua jurulatih untuk melihat proses persediaannya, apa yang masih kurang dan juga memerlukan khidmat sokongan untuk persiapan. Memang Jun Hao di bawah pasukan perseorangan lelaki negara cuma sekarang dia perlu kekalkan prestasinya agar boleh pergi lebih jauh," kata legenda perseorangan lelaki negara itu.

Misbun menambah, kecemerlangan Jun Hao bergantung kepada modul latihan yang diterapkan serta yang mudah difahami untuk meningkatkan prestasi.

"Kita perlu sedar bahawa pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) adalah juara dari setiap negeri, terbaik dalam kalangan terbaik. Bagaimanapun, kita tidak mahu mereka yang menjadi orang pertama masuk ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi pemain kesembilan atau ke-10 selepas enam bulan.

"Dulu bersama negeri mereka mempunyai sentuhan peribadi dari jurulatih masing-masing sekarang sudah masuk ke BAM ibarat budak sekolah yang menyambung pelajaran ke universiti, terbiar akibat dunia latihan yang terlalu luas. Mereka sudah tidak ada lagi sentuhan peribadi, emosi mereka tidak ada siapa peduli," katanya.

Jelas Misbun, pada mulanya pemain muda yang masuk ke BAM memang akan cuba meniru pemain senior berlatih tetapi bila sudah berada di zon selesa berdepan dengan pelbagai masalah disiplin seperti datang lambat ketika sesi latihan.

"Peranan jurulatih sangat penting untuk memupuk kekuatan asas tadi, bagi melonjakkan pemain itu ke satu peringkat demi peringkat. Jadi jurulatih harus memainkan peranan bagaimana untuk memantau pemain remaja bersesuaian dengan modul latihan yang diterapkan.

"Bagi kita perlu ada satu program jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan Jun Hao, kerana dia adalah juara buat masa sekarang. Sebagai jurulatih kita mesti mempunyai daya ciptaan tersendiri untuk memudahkan mereka mendapat mata, kalau membiarkan dia seorang saja melakukan ciptaan itu memang agak lambat untuk dia berjaya," katanya.

Berita Harian X