Sabtu, 19 Ogos 2017 | 1:11pm
JAGUH tenis Australia, Nick Kyrgios menundukkan pemain nombor satu dunia yang baharu, Rafael Nadal. - Foto EPA
JAGUH tenis Australia, Nick Kyrgios menundukkan pemain nombor satu dunia yang baharu, Rafael Nadal. - Foto EPA

Kyrgios kejutkan Nadal di Cincinnati Masters

CINCINNATI: Jaguh tenis Australia, Nick Kyrgios menundukkan pemain nombor satu dunia yang baharu, Rafael Nadal 6-2, 7-5 untuk melangkah ke separuh akhir ATP Cincinnati Masters, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan ke atas juara Grand Slam 15 kali itu adalah perlawanan kedua buat Kyrgios dalam tempoh sehari sekali gus mencuri tumpuan ketika penyandang juara WTA, Karolina Pliskova turut mengukuhkan peluangnya untuk mengekalkan kedudukan teratas ranking dunia.

Kyrgios yang menghuni ranking ke-23 dunia memerlukan 25 minit untuk memenangi set pertama selepas hanya melepaskan tiga mata servis sebelum mengambil tujuh daripada lapan servis Nadal pada set kedua.

Pada set kedua, pukulan kilas Nadal tersangkut di jaring untuk tewas di mata break yang memberikan Kyrgios mendahului 3-2, namun pemain kontroversi itu melakukan kesilapan berganda sebelum kembali bangkit mendahului 6-5 dan menamatkan permainan dengan servis ace dalam tempoh 80 minit.

Di separuh akhir, Kyrgios akan bertemu seorang lagi jauh Sepanyol, David Ferrer.

Sementara itu, pemain ranking ke-11 dari Bulgaria Grigor Dimitrov menewaskan pemain Amerika Syarikat, John Isner untuk menempah satu lagi tiket separuh akhir.

Dalam perlawanan lebih awal, Kyrgios menewaskan pemain Croatia, Ivo Karlovic 4-6, 7-6 (8/6), 6-3 dan Nadal menewaskan rakan senegaranya, Albert Ramos-Vinolas 7-6 (7/1), 6-2.

Kyrgios yang menyamai pencapaiannya di ATP Masters di Miami sejak dua tahun lalu memburu gelaran keempat selepas menjuarai Terbuka Marseille, Atlanta dan Tokyo pada tahun lalu.

Kebangkitannya memberi petunjuk bagi Terbuka AS di mana dia tidak pernah melangkah melebihi peringkat pusingan keempat.

Kejohanan Grand Slam terakhir tahun itu dijadual bermula pada 28 Ogos. - AFP

Berita Harian X