Rabu, 23 Ogos 2017 | 9:18pm
PEMAIN Malaysia, Andrea Lee Jia Qi (dua, kanan), dan rakan regunya, Rachel Mae Arnold (kiri) ketika pertemuan menentang rakan senegara Nazirah Hanis (kanan) dan Chan Yiwen di akhir beregu wanita Skuasy Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KL2017: Emas berganda dari gelanggang skuasy

KUALA LUMPUR: Andrea Lee di landasan memungut emas peribadi ketiga pada Sukan SEA, selepas memenangi acara beregu bersama-sama Rachel Arnold di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selain beregu wanita, Andrea juga melangkah ke perlawanan akhir beregu campuran, esok.

Bersama-sama Rachel, pasangan itu menewaskan rakan senegara Chan Yiwen-Nazihah Hanis Razak 11-4, 11-10 dalam pertemuan akhir dua pasangan Malaysia.

Sebelum itu, Andrea dan Ryan Pasqual juga memenangi beregu campuran walaupun diberi tentangan sengit oleh pasangan Singapura, Pang Ka Hoe-Mao Shihui sebelum menang 11-10, 7-11, 11-8 untuk menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan negara, Sanjay Singh Chal-S Sivasangari di final.

"Saya bertungkus lumus pada sebelah petang dan gembira sempat pulih untuk bermain baik sebentar tadi, jadi saya harap saya sempat berehat dan bermain dengan baik esok," kata Andrea, yang disenaraikan pada saat-saat akhir bagi menggantikan Aifa Azman yang cedera, untuk digandingkan dengan Rachel.

"Beregu campuran agak sukar kerana kami berhempas-pulas hari ini dan Sanjay serta Sangari juga hebat. Jadi tiada tekanan kepada kami dan saya akan cuba menang esok."

Rachel memungut emas ketiga Sukan SEA itu selepas memastikan dua emas acara berpasukan dan perseorangan di temasya Singapura 2015.

"Saya berpendapat kami bermain dengan baik walaupun memperlahankan rentak pada set kedua dan terpaksa mengejar mata," kata Rachel merujuk kepada kebangkitan selepas ketinggalan 5-9 di set kedua.

"Ini adalah emas beregu pertama bagi saya dan saya harap ia dapat diteruskan dalam acara perseorangan," katanya.

Malaysia mengutip emas kedua dari gelanggang skuasy apabila pilihan utama beregu lelaki, Syafiq Kamal dan Ng Eain Yow menewaskan pasangan Singapura, Pang-Timothy Leong 11-3, 11-6 dalam perlawanan akhir.

Ia adalah emas pertama buat juara dunia 2016 Eain Yow, yang juga diletakkan sebagai pilihan pertama dalam acara perseorangan manakala Syafiq menganggotai skuad berpasukan yang memenangi emas di Singapura.

Berita Harian X