Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:36pm

KL2017: Soniia, Jin Wei lakar kejutan

KUALA LUMPUR: Acara perseorangan wanita tidak diletakkan harapan untuk meraih emas, namun hari ini sejarah tercipta buat dua wakil negara, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei apabila bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir, seterusnya menamatkan penantian 14 tahun.

Kedua-duanya berjaya melepasi halangan sukar di separuh akhir hari ini, apabila Soniia menumpaskan Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), manakala Jin Wei pula mengetepikan Pornpawee Chochuwong (Thailand) untuk mengesahkan emas, perak acara ini milik Malaysia.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara ini ialah melalui Datin Wong Mew Choo di Ho Chi Minh, Vietnam pada 2003, selepas menumpaskan wakil Thailand, Salakjit Ponsana di perlawanan akhir.

"Sebenarnya saya tidak percaya mampu mara ke perlawanan akhir Sukan SEA. Pada awalnya, saya menjangkakan tidak bermain di temasya ini sebagai perseorangan pertama. Sekarang saya sudah mara ke final dan sangat gembira," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Soniia yang mengalahkan Gregoria 22-20, 21-13, berkata dia berjuang habis-habisan sehingga tamat perlawanan dan mengakui tidak kenal erti mengalah sejak peringkat separuh akhir lagi.

PEMAIN Malaysia, Soniia Cheah, meraikan kemenangan selepas menewaskan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, dalam acara badminton separuh akhir perseorangan wanita Sukan SEA KL2017 di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Malaysia, Soniia Cheah, meraikan kemenangan selepas menewaskan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, dalam acara badminton separuh akhir perseorangan wanita Sukan SEA KL2017 di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Saya rasa mungkin kemenangan ini berpunca daripada kurang tekanan berbanding semalam. Mengenai perlawanan akhir pula, sudah tentu saya mahu jadi juara, lebih-lebih lagi selepas mengalami kecederaan panjang sebelum ini. Saya tidak akan lupakan detik ini sampai bila-bila. Saya berpuas hati dapat kembali semula ke dalam gelanggang dan banyak lagi yang saya impikan selepas ini.

"Bagaimanapun, tidak kira siapa menang esok (hari ini), yang penting emas milik Malaysia. Saya cuba beri yang terbaik walaupun sebelum ini tidak pernah menumpaskannya," katanya merujuk kepada Jin Wei.

Jin Wei yang akan menentang Soniia buat kali pertama di pentas antarabangsa berkata, dia merasakan bakal diberi tentangan sukar dari Pornpawee dari set pertama lagi.

"Set kedua dia mula bermain lebih pantas, saya tidak mampu mengejarnya. Pada set ketiga saya fikir akan kalah, namun memberikan segalanya dan rasa sangat bernasib baik," katanya yang mencatat kemenangan 21-9, 10-21, 21-18 ke atas pilihan ketiga itu.

Pemain berusia 17 tahun itu juga mengakui sangat tertekan ketika ketinggalan 11-12 terutama selepas melihat Soniia mencatat kemenangan di gelanggang sebelah.

"Selepas Soniia menang, saya terfikir untuk mencipta sejarah. Saya terus memberi tentangan sengit dan ia berhasil. Sebelum ini saya menumbangkan antara pemain ketiga dan keempat terbaik dan berasa sangat letih.

"Tetapi esok tidak kisah sama ada saya ataupun Soniia menang," katanya yang berasa puas hati menebus kekecewaan dua tahun lalu di Singapura apabila hanya meraih gangsa.

Berita Harian X