Selasa, 29 Ogos 2017 | 7:36pm
BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi beraksi dalam perlawanan menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh pada aksi terakhir badminton beregu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Arena Axiata, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KL2017: Kecewa gagal penuhi sasaran BAM

KUALA LUMPUR: Harapan yang diletakkan kepada pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mencapai sasaran dua emas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak kesampaian apabila mereka tumpas dalam aksi terakhir Sukan SEA 2017 di Arena Axiata, sebentar tadi.

Yew Sin-Ee Yi jelas sekali berada dalam tekanan apabila pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal meraih emas sebelum itu.

"Memang kita mahu membantu negara meraih emas kedua tetapi pada masa sama, kami berasa tertekan," kata Ee Yi selepas tumpas di tangan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 19-21, 22-20, 17-21 dalam perebutan pingat emas.

BAM sebelum ini mensasarkan untuk meraih dua emas di KL2017, menerusi beregu campuran dan beregu wanita, namun kedua-duanya tidak menepati jangkaan dengan hanya satu emas disumbangkan Goh Jin Wei dalam aksi perseorangan wanita yang menewaskan rakan senegara, Soniia Cheah 21-11, 21-10.

Menurut Ee Yi, walaupun sekadar perak, dia tetap gembira dan mengakui tekanan semakin memuncak buat mereka berdua ketika aksi set penentuan apabila tangannya mula menjadi keras dan segala strategi permainan kurang menjadi.


BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi beraksi dalam perlawanan menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh pada aksi terakhir badminton beregu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Arena Axiata, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Pasangan lawan pun sudah tahu bagaimana untuk bermain dengan kami, tapi kerana terlalu inginkan emas kedua, ia memberikan tekanan kepada kami," kata pemain kelahiran Johor itu.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon turut yang gagal mengakhiri kemarau emas 18 tahun negara dalam acara beregu campuran, mengakui agak keletihan sehingga menyebabkan mereka tumpas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 15-21, 20-22.

"Hari ini kita sudah cuba yang terbaik. Bagaimanapun, keadaan fizikal kami sedikit terjejas berikutan perlawanan separuh akhir semalam sangat sengit. Selepas ini kami akan fokus untuk kejohanan seterusnya dan walaupun hanya meraih perak, ia tetap memberikan kami pembakar semangat serta motivasi," kata Shevon.

Bagi Soon Huat, pergerakan mereka dalam gelanggang agak perlahan dan ia menjadi antara punca mengapa mereka tumpas dalam perlawanan akhir itu.

Pingat gangsa acara ini diraih satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Bodin Isara-Savitree Amitrapai (Thailand).


BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi beraksi dalam perlawanan menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh pada aksi terakhir badminton beregu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Arena Axiata, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Berita Harian X