Khamis, 7 September 2017 | 10:05pm
GOH Jin Wei berpeluang merampas semula gelaran di Kejohanan Dunia Remaja kali ini selepas dilihat berada pada tahap terbaik ketika memenangi pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA KL2017, baru-baru ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jin Wei enggan sasar tinggi

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei enggan meletakkan tekanan ke atas dirinya sendiri dalam penampilan ketiga di Kejohanan Dunia Remaja di Yogyakarta, bulan depan.

Meskipun pernah mencipta kejutan muncul juara remaja dunia pada edisi 2015 di Peru, pemain berusia 17 tahun itu gagal mempertahankan gelaran itu pada edisi 2016 di Sepanyol sekali gus menjadikannya sebagai iktibar.

"Saya enggan memikirkan sangat mengenai usaha untuk merampas semula gelaran remaja dunia kerana setiap kali meletakkan sasaran pasti saya akan gagal.

"Jadi, kali ini saya pergi tanpa meletakkan sasaran peribadi dan hanya akan memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya pada majlis perjanjian persefahaman antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Malaysia Purple League serta sesi makan malam anjuran Senheng Electric (KL) Sdn Bhd, hari ini.

Pada Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol Jin Wei ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kelima apabila tumbang kepada pemain Jepun, Natsuki Oie, 21-10, 16-21, 16-21.

PEMAIN Malaysia, Goh Jin Wei ketika beraksi menentang pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong pada separuh akhir perseorangan wanita Sukan SEA KL2017 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, Jin Wei tampak berpeluang merampas semula gelaran itu kali ini selepas dilihat berada pada tahap terbaik ketika memenangi pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), baru-baru ini.

Malah, pemain kelahiran Pulau Pinang itu yakin faktor sudah pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan lutut yang menghantuinya sebelum ini juga memberikan dia lebih keyakinan untuk beraksi.

"Saya sudah mula menjalani latihan minggu ini untuk persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia dan juga Cabaran Antarabangsa Singapura (19-23 September). Saya lega apabila saya sudah tidak merasai kesakitan lama," katanya.

Ditanya apakan kelainan yang dirasainya bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia kali ini, Jin Wei merasakan sedikit beza kerana perlu membahagi masa antara sesi latihan dan kelas tuisyen tatkala dia bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Berita Harian X