Selasa, 12 September 2017 | 8:42pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi. - Foto Owee Ah Chun

Tukar pakar sains sukan - Khairi Zawi

KUALA LUMPUR: Kelemahan mental bukan masalah yang melanda gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sahaja, tetapi juga kebanyakan pemain badminton negara dan Institut Sukan Negara (ISN) berasakan tibalah masanya untuk mengesyorkan pakar baharu berbanding orang lama yang dilihat seakan ketandusan idea.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Dr Khairi Zawi, seorang pakar psikologi yang bagus boleh mengesan masalah yang dialami pemain ketika berlatih lagi, bukannya ketika menyertai pertandingan.

"Sebenarnya kelemahan ini mempunyai banyak faktor, psikologi salah satu darinya. Bagaimanapun, saya memerlukan data untuk mengesahkan perkara ini," katanya.

Jelasnya, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga menitikberatkan mengenai perkara ini (kelemahan mental) terutama selepas skuad badminton negara gagal mencapai sasaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Berbalik kepada isu beregu lelaki utama negara, saya rasa penurunan prestasi adalah disebabkan banyak faktor. Gangguan psikologi terjadi sebab mereka terpaksa memikul tanggungjawab berat. Mungkin kesilapan itu datang dari pihak kami, walaupun pihak persatuan ada meminta pakar-pakar tertentu.

"Seperti contoh, pakar penganalisa prestasi tapi jika tidak ada keputusan membanggakan, kita boleh melakukan eksperimen menghantar pakar lain. Kita boleh sebenarnya memperkenalkan orang baharu, bukan hanya menggunakan pegawai yang biasa saja.

"Pakar yang berbeza, akan menggunakan teknik yang berbeza. Kalau asyik guna orang yang sama, memang ada kelebihan dari segi rapat dengan pemain tapi tidak mempunyai jaminan menghasilkan keputusan cemerlang. Sama seperti pakar sains, apabila sudah menghasilkan ciptaan baharu, dia akan berasa selesa dan berhenti melakukan reka cipta," katanya.


PENURUNAN prestasi pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong disebabkan banyak faktor. Gangguan psikologi mungkin terjadi sebab mereka terpaksa memikul tanggungjawab berat. - Foto Rosli Rahmat

Kata Khairi, ISN sentiasa menjadi sebahagian daripada rakan kongsi BAM, di mana kedua-dua pihak sentiasa terbuka mengenai perkara ini.

"Kita sebenarnya mempunyai bilangan pakar yang ramai dan perlu menggunakannya dengan baik. Bagaimanapun, persatuan ada kalanya meminta individu tertentu. Sekarang untuk 'post mortem' bukan saja pemain perlu melaluinya, pihak perkhidmatan sains sukan juga harus menjalani perkara ini.

"Sebelum ini, penganalisa prestasi orang sama, pakar psikologi orang sama, pakar urut orang sama. Kita harus mencuba orang baharu. Buat masa ini, itu adalah pelan jangka pendek kita," katanya.

1000 dibaca
Berita Harian X