Ahad, 1 Oktober 2017 | 10:35pm
Pemain beregu Malaysia, Goh V. Shem (kanan) akui terkejut dengan keputusan jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam. - Foto Nadim Bokhari

V Shem terkejut, tak tahu punca Jeremy undur

KUALA LUMPUR: "Saya tidak tahu mengapa beliau meletak jawatan,".

Demikian menurut pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem yang turut terkejut dengan keputusan jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

V Shem berkata Jeremy seorang jurulatih yang bagus dan mengajarnya bersama Tan Wee Kiong pelbagai strategi sehingga berjaya sampai ke mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Rio tahun lalu dan memenangi pingat perak.

"Saya hanya berharap beliau dapat meneruskan karier sebagai jurulatih dengan jayanya selepas ini," kata V Shem hari ini.

V Shem berkata saat indah paling diingati ketika berada di bawah bimbingan Jeremy sudah tentu ketika di Olimpik Rio walaupun mereka tumpas di perlawanan akhir kepada Fu Haifeng-Zhang Nan dari China.

Jeremy yang berusia 38 tahun menyerahkan notis peletakan jawatan selama tiga bulan dan akan mengakhiri tugasnya bersama BAM sehingga hujung tahun ini.

Dia yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih beregu campuran sehingga berjaya menaikkan pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, difahamkan mendapat tawaran berkhidmat dengan negara lain.

Ini kali kedua badan induk itu dikejutkan dengan peletakan jawatan bahagian kejurulatihan apabila Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen juga melakukan tindakan yang sama dua minggu lalu.

Jun lalu, BAM melakukan perubahan dalam pengstrukturan kejurulatihan apabila memperkenalkan ketua jurulatih untuk setiap bahagian.

Bagi beregu lelaki, BAM melantik Cheah Soon Kit memegang jawatan sebagai ketua jurulatih, manakala di bawahnya dibantu oleh Jeremy bersama Rosman Razak.

Selain itu, gandingan V Shem-Wee Kiong juga dipecahkan kerana penurunan prestasi, termasuk tersingkir awal di Kejohanan Dunia Ogos lalu.

V Shem digandingkan dengan Teo Ee Yi dan mereka berdua sudah mula berlatih bersama dalam tempoh seminggu, untuk membuat penampilan sulung di Terbuka Perancis pada 24 hingga 29 Oktober ini.

1638 dibaca
Berita Harian X