Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:25pm
KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit (kiri) memilih Vountus Indra Mawan Saniru sebagai jurulatih baharu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Soon Kit pilih Vountus latih regu negara

KUALA LUMPUR: Secocok dengan program yang dirancang dan memiliki kelebihan aspek sains sukan menjadi faktor utama mengapa ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit memilih Vountus Indra Mawan Saniru sebagai jurulatih baharu.

Bagi Soon Kit, Vountus juga dilihat mampu untuk memberi kerjasama yang terbaik dengannya di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta dengan seorang lagi jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak.

"Beliau (Vountus) boleh membantu kami terutama sekali untuk meneruskan latihan kepada pemain muda, jika kami berdua berada di kejohanan lain di luar negara," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Paling penting, Vountus mempunyai keinginan yang membuak-buak untuk belajar menjadi antara seorang jurulatih berkaliber satu hari nanti.

"Selain seorang yang sentiasa bekerja keras, beliau juga mempunyai latar belakang sains sukan dan mampu untuk menjadi rakan pelatih dengan pemain muda.

"Sudah tentu ramai yang berminat dengan jawatan ini tetapi apabila kami pergi lebih mendalam, saya dan Rosman melihat beliau adalah orang yang kami cari dan memenuhi kriteria," kata bekas pemain beregu lelaki negara itu.

Soon Kit juga mengakui Vountus sudah menimba pengalaman sebagai seorang jurulatih di Eropah apabila melatih pemain dari Belanda dalam tempoh beberapa bulan.

"Tidak ada beza antaranya dengan jurulatih lain kerana beliau juga seorang bekas pemain negara. Saya rasa beliau sesuai dan secocok dengan program saya bersama Rosman.

"Kami sedar akan kepentingan sains sukan dan mahu lebih menumpukan kepada perkara berkenaan selepas ini," kata Soon Kit yang pernah membantu Malaysia merangkul gelaran juara Piala Thomas pada 1992.

Vountus yang berusia 28 tahun pernah membantu skuad negara meraih gangsa di Kejohanan Universiti Dunia (WUC 2014) dalam acara beregu campuran ketika bergandingan bersama Lee Meng Yean.

Bekas pemain kelahiran Sabah itu juga pernah muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada 2014 dan pernah bergandingan bersama pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem.

Bekas pemain Kelab Badminton Nusa Mahsuri itu meninggalkan BAM ketika menjadi pemain pada 2012.

Vountus akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan yang menghantar surat peletakan jawatan dengan notis tiga bulan.

3192 dibaca
Berita Harian X