Khamis, 11 Januari 2018 | 12:59am
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) beramah mesra dengan pemain muda badminton SSBJ pada Perhimpunan Bulanan SSBJ di Akademi Badminton Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

Pemain SSBJ perlu manfaat latihan di ABM - Norza

KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja negara dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) perlu memanfaatkan peluang berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk mengejar impian menjadi juara dunia.

Enam puluh pelajar SSBJ daripada Tingkatan Satu hingga Lima yang dipilih bukan sahaja dapat berlatih bersama ikon badminton negara, malah mereka juga meneruskan persekolahan di akademi itu serta menetap di asrama disediakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula selewat-lewatnya April ini.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata ABM mempunyai kelengkapan terbaik untuk pelajar tersebut kerana akademi berkenaan dilengkapi kelas serta asrama agar pemain dapat fokus dalam latihan dan pembelajaran mereka.

"Kita (BAM) akan menyediakan tempat tinggal, kelas untuk kamu (pelajar) belajar, segala kemudahan yang bertepatan dengan keperluan remaja sekarang dan tempat latihan serta pendedahan sains sukan.

"Saya juga memberitahu pihak pengurusan BAM dan jurulatih skuad remaja supaya menjelaskan kepada ibu bapa pelajar yang terbabit mengenai signifikan anak-anak mereka berlatih bersama-sama pemain elit di sini.

"Kita mengadakan mesyuarat mengenai peranan pelbagai pihak tentang pelajar-pelajar ini iaitu bersama Kementerian Pendidikan dalam menghantar guru untuk mengajar pelajar; dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menguruskan tempat tinggal dan makanan pelajar-pelajar ini termasuk beberapa pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada perhimpunan bersama pelajar SSBJ di ABM, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng berkata kehadiran empat jurulatih melibatkan pemain kebangsaan, Hafiz Hashim, Lutfi Mohd Zaim Abdul Khalid l, Amelia Alicia Anscelly dan bekas pemain Singapura, Wahida Abdullah akan membantu program latihan berjalan lebih lancar dan teratur.

Beliau juga percaya usaha membawa semua pemain badminton SSBJ tersebut berlatih di ABM akan memberi impak terbaik dalam arena badminton negara.

"Sejak saya dilantik sebagai ketua jurulatih badminton SSBJ, memang menjadi impian saya untuk melatih pelajar di ABM bersama-sama pemain kebangsaan negara lain.

"Negara seperti China, Indonesia dan Korea Selatan, mereka juga mengambil inisiatif melatih semua pemain mereka, senior dan junior di bawah satu bumbung.

"Saya mahu pelajar-pelajar ini memanfaatkan peluang diberikan ini untuk memastikan impian negara melahirkan juara dunia tercapai," katanya. - BERNAMA

197 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »