Rabu, 17 Januari 2018 | 7:00pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu melupakan mimpi ngeri beraksi di Arena Axiata, Bukit Jalil selepas mara ke pusingan kedua Malaysia Masters, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Mimpi ngeri masih hantui Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu melupakan mimpi ngeri beraksi di Arena Axiata, Bukit Jalil selepas mara ke pusingan kedua Malaysia Masters, hari ini.

Zii Jia yang tersingkir di pusingan kedua Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu berjaya menewaskan pemain Denmark, Emil Horst 21-12, 21-18 dalam aksi pusingan pertama.

"Saya akui apa yang berlaku sebelum ini masih belum dapat dilupakan malah sebelum perlawanan hari ini, saya masih ingat. Saya tidak mahu mimpi ngeri ketika Sukan SEA tahun lalu berulang," kata pemain berusia 20 tahun itu yang akan bertemu Jonathan Christie di pusingan kedua, esok.

"Saya bernasib baik jurulatih memberi nasihat supaya kekal fokus. Dia menasihatkan saya tidak terlalu fikir mengenai kemenangan dan pastikan memanaskan badan dengan sempurna.

"Saya bermain dengan baik di set pertama tetapi banyak membuat kesilapan di set kedua. Ia menjadi lebih sengit di set kedua tetapi mujur saya menang dan layak ke pusingan kedua."

Mengulas mengenai pertemuan dengan Jonathan, Zii Jia berkata: "Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, apatah lagi dia pemenang pingat emas Sukan SEA. Saya akan buat yang terbaik untuk mara ke suku akhir," katanya.

Sementara itu, beregu wanita, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan China, Liu Xuanxuan-Zhou Chaomin 21-16, 21-18.

Mereka akan bertemu pilihan pertama kejohanan dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan, esok.

1014 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »