Isnin, 29 Januari 2018 | 6:05pm
PEMAIN beregu Malaysia,Chooi Kah Ming (kiri) dan Low Juan Shen , menentang pemain dari China, Chai Bioa dan Wei Hong, dalam perlawanan Kejohanan Terbuka Malaysia 2017, Celcom axiata di Stadium Perpaduan Negeri Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Kah Ming azam rebut tempat

KUALA LUMPUR: Pemain badminton beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming bertekad untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik untuk meraih peluang disenaraikan dalam skuad ke Piala Thomas, jika skuad negara berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Bagi pemain berusia 26 tahun itu, jika mahu namanya diberi pertimbangan untuk berada dalam skuad Piala Thomas, perkara utama yang perlu dilakukan ialah bangkit mempamerkan prestasi terbaik.

"Tahun ini kami sudah beraksi dalam tiga kejohanan, Thailand, Malaysia dan Indonesia Masters, namun prestasi kami masih kurang memberangsangkan. Kami sepatutnya bermain lebih baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Di Thailand Masters, Kah Ming yang bergandingan bersama Low Juan Shen terkandas di pusingan pertama selepas tumpas kepada pasangan tuan rumah, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash 21-19, 17-21, 15-21.

Keputusan yang sama turut dicatatkan di Malaysia Masters apabila mereka kecundang di tangan Liu Cheng-Zhang Nan dari China, 14-21, 16-21, manakala di Indonesia Masters, mereka terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding 11-21, 17-21.

"Saya masih belum pasti peluang kami untuk disenaraikan, semuanya bergantung kepada keputusan kejohanan selepas ini. Kami harus bermain dengan lebih baik selepas ini.

"Bagi saya sendiri, saya perlu memberikan permainan terbaik dan selepas itu barulah mempunyai sedikit peluang untuk disenaraikan," katanya.

Kah Ming-Juan Shen yang menduduki ranking ke-36 dunia tidak disenaraikan di Kejohanan Berpasukan Asia walaupun mereka adalah pasangan ketiga terbaik negara di belakang Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit memberi peluang kepada pasangan muda, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada di ranking ke-56 untuk menyertai skuad ke Alor Setar minggu depan.

304 dibaca
Berita Harian X