Isnin, 29 Januari 2018 | 6:24pm
PEMAIN badminton beregu wanita negara, Lee Meng Yean (kanan) digugur selepas mengalami kecederaan lutut kanan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Skuad Piala Uber ketepikan Meng Yean

KUALA LUMPUR: Pemain badminton beregu wanita negara, Lee Meng Yean terpaksa digugurkan daripada skuad ke Kejohanan Berpasukan Asia yang berlangsung minggu depan, selepas mengalami kecederaan lutut kanan dan tempatnya bakal digantikan dengan Tee Jing Yi.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty menganggap berita kurang gembira daripada skuad wanita itu sedikit menjejaskan perancangan pasukan yang cuba mencari tiket untuk melayakan diri ke Piala Uber secara automatik.

"Kita tidak ada pilihan dan sedikit perubahan perlu dilakukan dalam senarai pemain untuk pasukan ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Pei Tty adalah antara individu yang cukup kecewa dengan situasi itu kerana sejak awal tahun ini, prestasi Meng Yeng yang bergandingan bersama Mei Kuan begitu memberangsangkan.

"Sejak kebelakangan ini, mereka beraksi dengan baik dan kita melihat ini adalah gandingan harapan bagi skuad beregu wanita pada masa akan datang. Bagaimanapun, kita tidak dapat berbuat apa-apa dan harus menerima berita ini dengan positif.

"Bagaimanapun, masih ada lagi khabar gembira kerana kecederaan Meng Yean tidak memerlukan pembedahan dan dia akan menjalani proses pemulihan di sini," kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Ditanya mengenai percaturan yang bakal dilakukan di Alor Setar minggu depan, Pei Tty menjelaskan perkara itu adalah rahsia.

"Apa yang boleh saya kongsikan ialah pemain lain kekal termasuk Yap Cheng Wen dan Goh Yea Ching. Kita hanya boleh membuat pertukaran seorang pemain saja (yang mengalami kecederaan). Jika berpasangan, sudah tentu saya menggugurkan Mei Kuan sekali," katanya.

Meng Yean mengalami kecederaan selepas kejuaraan Malaysia Masters dan dijangka melakukan proses pemulihan selama empat hingga enam minggu.

Pasangan Mei Kuan-Meng Yean yang kini menduduki ranking ke-16 dunia, beraksi cemerlang di Thailand Masters apabila mara ke pentas separuh akhir.

505 dibaca
Berita Harian X