Isnin, 29 Januari 2018 | 11:26pm
PRESIDEN Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM), Muhd Iqbal Sulaiman. - Foto Aizuddin Saad

WTM perjelas tindakan buat rombakan

KUALA LUMPUR: Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) menjelaskan keputusannya untuk merombak badan induk itu termasuk Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan penaungnya, adalah demi kebaikan sukan berkenaan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini ia menjelaskan keputusan menggugurkan penaung sebelum ini iaitu Tun Dr Siti Mohamad Ali adalah disebabkan keperluan mendapatkan penaung lebih aktif dengan aktiviti persatuan.

WTM pada bulan lalu melantik EXCO baharu yang diketuai oleh presiden, Muhd Iqbal Sulaiman bagi menggantikan Lenny Ghandi.

"WTM baru-baru ini mengadakan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) dan sudah melantik EXCO yang baharu," kata kenyataan itu menerusi Iqbal.

"Sasaran EXCO ini adalah untuk melaksanakan rancangan baharu di bawah program 'Bag Full of Dreams' dengan penekanan bagi memupuk dan membangunkan bakat sukan Malaysia di kalangan komuniti kerusi roda.

"Dengan perubahan besar-besaran tugas dan jawatan utama, strategi utama EXCO yang baharu adalah untuk fokus terhadap perancangan jangka panjang.

"Dengan pelan pembaharuan agresif dan menyeluruh persatuan itu selepas penilaian teliti terhadap sumbangan dan hasil sebelum ini, ia adalah keputusan kolektif EXCO baharu yang mengatakan kami memerlukan perubahan untuk mencapai kejayaan luar biasa.

"Ini termasuk keputusan yang berat dan sukar iaitu untuk mencari penaung baharu yang perlu terbabit secara aktif dalam aktiviti pencarian dana serta memberikan nasihat penting selaras dengan visi jangka panjang persatuan.

"Tun Dr Siti Hasmah sudah bersama persatuan selama 20 tahun. Kami amat berterima kasih atas sokongan yang berterusan beliau dan mengucapkan yang terbaik terhadapnya."

WTM berkata semua pihak perlu memahami arah yang sedang mereka lalui dan menekankan perubahan tidak dapat dielakkan dalam misi untuk terus membangunkan sukan berkenaan.

Antara rancangan WTA termasuk membida hak penganjuran untuk pusingan kelayakan Piala Dunia Berpasukan BNP Paribas Asia 2019 dan Piala Dunia Berpasukan BNP Paribas 2020.

233 dibaca
Berita Harian X