Khamis, 1 Februari 2018 | 11:13pm
PEMAIN perseorangan Malaysia, Mohd Syafiq Kamal menentang pemain Hong Kong, Tsz Kwan Lau ketika separuh akhir Malaysian Tour Squash Circuit (SSJM) No. 3 di NSC Squash Centre Jalan Duta. - Foto Eizairi Shamsudin

Sanjay, Syafiq berentap di final

KUALA LUMPUR: Sanjay Singh Chal berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran siri Jelajah PSA sulungnya apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Jelajah Malaysia di Jalan Duta semalam.

Sanjay, 23, terlepas beberapa peluang keemasan meneruskan rentak konsisten skuad negara selepas merangkul dua emas di Sukan SEA Singapura akibat kecederaan.

Namun semangat kuatnya mendorong Sanjay bangkit dan memenangi emas dalam acara beregu campuran di Sukan SEA Kuala Lumpur yang lalu seterusnya melonjak 86 anak tangga ke kedudukan ke-133 dunia dalam tempoh tujuh bulan.

Pada perlawanan separuh akhir itu Sanjay bangkit daripada ketinggalan selepas tewas di set pertama untuk mengakhiri cabaran pemain Pakistan Asim Khan, juara dua pusingan awal siri Jelajah Malaysia, 13-15, 11-3, 11-4, 11-2 sekali gus menempah tike ke final menentang rakan senegara Syafiq Kamal.

"Prestasi saya bertambah baik sejak berlatih di bawah bimbingan Ajaz Azmat yang membuatkan saya percaya akan kemampuan diri saya sendiri," kata Sanjay yang mara ke final Jelajah PSA pertama sejak tahun 2015.

"Saya juga mengubah cara hidup dengan menjadi lebih berdisiplin dan peluang bekerjasama dengan jurulatih kecergasan di bawah Program Podium yang memberi impak mengagumkan."

Sanjay turut berpeluang membalas dendam dua kekalahannya sebelum ini kepada Syafiq apabila bertemu pemain itu buat kali ketiga di peringkat akhir Jelajah PSA.

Syafiq yang kini menghuni ranking ke-89 dunia menewaskan pemain Hong Kong Lau Tsz Kwan 11-5, 11-7, 11-9 untuk mara ke final ke-10 Jelajah PSA dan berharap dapat merangkul gelaran ketiga dalam Jelajah PSA.

____________________________________________________________

KEPUTUSAN

- LELAKI

Syafiq Kamal (Mas) mn Lau Tsz Kwan (HK) 11-5, 11-7, 11-9

Sanjay Singh Chal (Mas) mn Asim Khan (Pak) 13-15, 11-3, 11-4, 11-2

- WANITA

Tong Tsz Wing (HK) mn Aifa Azman (Mas) 10-12, 11-5, 11-9, 9-11, 11-9

Andrea Lee (Mas) mn Jemyca Aribado (Phi) 8-11, 11-4, 11-6, 11-6

Berita Harian X