Isnin, 5 Februari 2018 | 9:42pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dijangka diturunkan selaku perseorangan kedua dan berazam untuk membawa skuad negara bermula dengan langkah kanan. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dijangka diturunkan selaku perseorangan kedua dan berazam untuk membawa skuad negara bermula dengan langkah kanan. - Foto Hairul Anuar Rahim

Zii Jia bersedia sumbang mata kemenangan

ALOR SETAR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah tidak sabar untuk memperagakan aksi terbaik di negeri kelahirannya, menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan C Kejohanan Berpasukan Asia menentang Thailand di Stadium Sultan Abdul Halim esok.

Dia yang dijangka diturunkan selaku perseorangan kedua, berazam untuk membawa skuad negara bermula dengan langkah kanan walaupun sedar ia bukan tugas mudah memandangkan negara jiran itu adalah salah satu pasukan yang sedang meningkat.

"Saya sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan dan berharap mampu memberikan aksi terbaik sekali gus menyumbang mata buat skuad negara. Ini adalah kejohanan penting dalam membantu Malaysia melayakkan diri ke Piala Thomas di Bangkok Mei depan," katanya yang berusia 20 tahun itu.

Zii Jia dijangka berdepan Suppanyu Avihingsanon yang akan diturunkan selaku perseorangan kedua Thailand, manakala Datuk Lee Chong Wei pula bakal berdepan Khosit Phetpradab.

"Turun selaku pemain perseorangan kedua adalah satu tanggungjawab besar tetapi saya sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik kerana saya berpeluang untuk menghadiahkan mata kemenangan jika dua perlawanan awal menjadi milik kami.

"Lagi pun kejohanan kali ini berlangsung di negeri kelahiran saya sendiri dan ia bakal memberi motivasi tambahan dengan sokongan padu penduduk di Alor Setar," kata juara Terbuka Poland 2017 itu.

Selain Zii Jia dan Chong Wei, pemain perseorangan lelaki yang berada dalam skuad negara ialah Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X