Khamis, 15 Februari 2018 | 10:48am
SUKAN badminton dicemari dengan gejala bookie mengatur perlawanan bagi peringkat antarabangsa.

Bookie sogok minimum RM20,000 satu perlawanan

KUALA LUMPUR: Sogokan lumayan ditawarkan sindiket bookie kepada pemain badminton membuatkan mereka mudah dipengaruhi sekali gus terjerumus dengan skandal mengatur perlawanan.

   

Menurut sumber, pemain ditawarkan minimum RM20,000 untuk menjual satu perlawanan dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

   

Katanya, tawaran itu boleh dianggap cukup lumayan terutama kepada pemain bukan utama, apatah lagi jika mereka ditawarkan untuk tewas seawal pusingan pertama lagi.

   

"Langkah pertama dilakukan bookie adalah menentukan perlawanan mana ingin diatur berdasarkan kebarangkalian menang kalah yang dipaparkan dalam laman web pertaruhan.

   

"Hanya selepas itu, bookie akan mula bergerak mendekati pemain bagi mengatur perlawanan. Beberapa saluran digunakan bookie bagi mendekati pemain," katanya.

   

Menurut sumber itu lagi, kebiasaannya, bookie akan mendekati pemain secara terus iaitu bertemu dan berbincang secara lisan yang disifatkan langkah paling selamat.

 

Bagaimanapun, ada juga pemain didekati bookie menerusi panggilan telefon, aplikasi Whatsapp, WeChat dan orang tengah membabitkan jurulatih atau rakan-rakan pemain.

   

Katanya, jika persetujuan berjaya dicapai antara kedua-dua pihak, bookie akan memaklumkan kepada pemain mengenai cara mereka perlu mengatur perlawanan yang sudah ditetapkan.

   

"Istilah 'kecil besar' antara yang popular dalam skandal mengatur perlawanan membabitkan sukan badminton. Jika pertaruhan membabitkan kecil, ia membawa maksud pemain yang disogok bookie perlu tewas di bawah mata 10 dan begitulah sebaliknya.

   

"Pertaruhan juga dilakukan berdasarkan keputusan mata perlawanan, set perlawanan atau pemain yang akan memenangi perlawanan," kata sumber itu.

  

Selasa lalu, BH Online dalam laporan eksklusifnya, melaporkan dunia badminton negara digemparkan dengan dakwaan seorang pemain profesional sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terbabit skandal mengatur perlawanan.

   

Sehari selepas itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan mengenai perkara itu tetapi memaklumkan bukan seorang tetapi dua pemain profesional yang digantung sementara BWF bermula bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

3348 dibaca
Berita Harian X