Sabtu, 3 March 2018 | 8:11pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin memenangi tempat pertama bagi acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata di Stadium Juara, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin memenangi tempat pertama bagi acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Kebangsaan Celcom Axiata di Stadium Juara, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Iskandar enggan cepat berpuas hati

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin enggan terlalu berpuas hati dengan kejayaannya muncul juara Kejohanan Badminton Kebangsaan buat kali kedua, hari ini.

Iskandar yang meraih gelaran itu kali pertama pada 2015 membuktikan dia kini di landasan tepat bagi mencapai tahap prestasi terbaiknya apabila menewaskan pemain perseorangan kedua Malaysia, Lee Zii Jia dengan keputusan 21-19, 21-16 dalam aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia mahu menunjukkan aksi yang konsisten dalam setiap kejohanan disertainya dalam misi menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

"Orang tidak tahu apa yang saya lalui terutama selepas saya pulih daripada kecederaan. Ketika mula pulih, saya memang sering kalah kepada rakan lain dalam latihan dan hilang keyakinan. 

"Namun, Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki) banyak membantu dan memberi motivasi. Begitu juga Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Persatuan Badminton Malaysia).

"Kini, saya lebih yakin, tetapi saya tidak mahu terlalu cepat puas hati. Saya mahu tampil aksi yang konsisten dalam setiap kejohanan," kata Iskandar yang mengalami kecederaan belakang dan terpaksa berehat panjang sepanjang saingan musim lalu.

Sementara itu, pemain perseoranan wanita, Sonia Cheah meraih gelaran pertama kejohanan kebangsaan selepas menewaskan rakan sepelatih, S Kisona 21-14, 21-19.

Tidak cukup dengan itu, Sonia turut menerima perkhabaran gembira apabila dia disenaraikan untuk beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan bagi menggantikan Goh Jin Wei yang digugurkan. 

"Akhirnya saya berjaya memenangi gelaran juara kebangsaan dan ia bertambah manis apabila saya dipilih untuk beraksi pada Sukan Komanwel," katanya.

Dalam saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong muncul juara selepas mengetepikan cabaran Mohd Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayup 21-17, 19-21, 21-15. 

Pasangan Goh Yea Ching-Soong Fie Cho pula mendominasi saingan beregu wanita apabila menewaskan Chow Mei Kuan-Yap Cheng Wen 21-19, 22-24 manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie melakar kemenangan ke atas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-17, 21-17 untuk muncul juara beregu campuran.

Berita Harian X