Jumaat, 9 March 2018 | 11:20pm

Filem 'Lee Chong Wei' cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei bukan saja berjaya mencipta nama di pentas dunia secara individu, malah tayangan perdana filem biografinya bertajuk 'Lee Chong Wei' turut melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records dan Asia Book of Record.

Ia menjadi tayangan perdana terbesar di Malaysia dan Asia dengan kehadiran penonton seramai 20,000 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, malam tadi.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei berharap filem biografinya itu yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 Mac ini mampu memberi inspirasi kepada pemain muda dalam misi melakar kejayaan di pentas dunia.

Katanya, sehingga hari ini dia masih tidak percaya kisah suka duka yang dilaluinya bagi menjadi pemain utama dunia kini sudah difilemkan dan bakal ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Sampai sekarang saya masih tidak percaya cerita saya akan menjadi filem. Saya harap filem ini mampu memberi inspirasi kepada pemain muda yang berjaya di pentas tertinggi.

"Filem ini menjadi bukti terhadap pengorbanan yang saya lakukan selama 19 tahun bergelar pemain kebangsaan untuk mencipta kejayaan di pentas dunia.

"Saya mahu semua tahu apa yang saya lakukan selama ini adalah demi mengharumkan nama Malaysia.

"Saya juga berharap filem ini dapat membuatkan ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak yang berminat dengan badminton untuk terus bekerja keras bagi mencapai kejayaan" kata Chong Wei.

Penonton yang hadir menyaksikan tayangan perdana itu dipertontonkan menerusi  skrin gergasi bersaiz 40 meter lebar dan 17m tinggi.

Lebih menarik, penonton yang hadir menjadi orang pertama yang menyaksikan filem berkenaan versi 'Director Cut' berdurasi 133 minit yang tidak akan ditayangkan di mana-mana pawagam.

Antara yang hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria;  legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek; Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sebelum berjaya muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang membawa watak jurulatih Chong Wei iaitu Misbun; pelakon Singapura, Mark Lee (sebagai bapa, Lee Ah Chai); Yeo Yann Yann (sebagai ibu, Khor Kim Chooi); Ashley (sebagai isteri, Datin Wong Mew Choo) dan Tosh Chan membawa watak Chong Wei.

Acara dimulakan dengan upacara karpet merah yang diserikan dengan kehadiran barisan pelakon tetamu kehormat termasuk Chong Wei sebelum sesi soal jawab bersama pemain berusia 36 tahun itu.

Nabila Razali dan Priscilla Abby yang diberi tanggungjawab menyanyikan lagu tema filem berkenaan turut membuat persembahan dengan lagu berjudul 'Cahaya Juara'.

DATUK Lee Chong Wei hadir ketika tayangan perdana filem biografinya terbesar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X