Selasa, 17 April 2018 | 9:38pm
PERSEORANGAN lelaki negara, Soong Joo Ven bangkit menewaskan pemain Indonesia, Marteen Andre pada pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Joo Ven lepas, Jun Hao, June Wei kandas

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven bangkit selepas tumpas set pertama dan ketinggalan 16-20 pada set kedua sebelum menumpaskan pemain Indonesia, Andre Marteen pada pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia hari ini.

Joo Ven, pilihan ketiga kejohanan, mengambil masa satu jam 12 minit untuk menang 18-21, 25-23, 21-19 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, kemenangan hari ini amat bermakna buatnya kerana tumpas awal di beberapa kejohanan termasuk Siri Antarabangsa Indonesia, Cabaran Antarabangsa Vietnam dan Terbuka Switzerland.

"Permainan hari ini memang membuatkan saya berasa tertekan kerana memikirkan keputusan sebelum ini. Jadi kali ini saya betul-betul perlu berusaha untuk mendapatkan keputusan yang baik," katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas Joo Ven, sebelum masuk ke gelanggang dia hanya memikirkan untuk tidak mudah menyerah kalah walaupun hingga lawan berada di kedudukan mata akhir.

"Saya hanya fikir jangan cepat mengalah dan cuba untuk menang dalam setiap perlawanan. Undian untuk saya juga tidak terlalu sukar ataupun mudah, tapi saya berharap mampu mara hingga separuh akhir," katanya.

Menanti Joo Ven pada pusingan kedua esok adalah pemain Thailand, Noppanai Singrueang yang sebelum itu mengalahkan Hardik Makkar dari India 21-13, 21-9.

Sementara itu, dua perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao yang baru tiba dari Amsterdam petang ini, terpaksa mengambil keputusan menarik diri selepas tumpas set pertama kepada lawan masing-masing.

June Wei yang masih lagi segar dengan kejuaraan Terbuka Belanda minggu lalu menarik diri selepas kalah 11-21 pada set pertama menentang Muhammad Bayu Pangisthu dari Indonesia, manakala Jun Hao pula meninggalkan gelanggang apabila kalah 12-21 kepada Kantawat Leelavechabutr dari Thailand.

"Memang penat kerana kami baru tiba di stadium ini pada jam 4.30 petang dan aksi saya pula berlangsung 5.30 petang. Jadi memang kami rancang untuk menarik diri pada pusingan pertama selepas melalui penerbangan selama 12 jam dari Amsterdam.

"Kalau tidak beraksi pada kejohanan ini kami akan didenda," kata June Wei yang dijangka menyertai Terbuka New Zealand bulan depan.

1555 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »