Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:34pm
BAPA, Zulkiffli Sidek ketika sidang media oleh anaknya, bekas juara badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli mengenai hukuman yang dikenakan BWF terhadapnya di Business Centre, One World Hotel. - Foto Eizairi Shamsudin

'Saya kenal anak saya'

KUALA LUMPUR: Bapa Zulfadli, Zulkiffli Sidek melahirkan rasa kecewa apabila anaknya menjadi mangsa penindasan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas dituduh mengatur perlawanan tanpa bukti kukuh.

Sebagai bapa merangkap jurulatih, Zulkiffli menegaskan beliau mengenali anaknya dan yakin pemain itu tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan imej keluarga dan negara.

"Saya sendiri sebagai jurulatih, bapa dan ketua keluarga berasa sedih dengan apa yang berlaku kepada saya. Dia menjadi mangsa keadaan, ada sesuatu yang tidak betul (dalam kes ini).

"Mereka (BWF) menuduh orang tanpa bukti, ketika dikemukakan pada sesi pendengaran... walaupun saya tidak masuk tapi peguam yang mewakili Zulfadli sudah menjawab semua pertuduhan yang dikenakan. Ditanya perlawanan mana yang diatur, mereka katakan tidak perlu ada bukti.

"Jadi, saya memang kecewa anak saya diperlakukan sedemikian. Dari kecil hingga besar, saya didik anak saya untuk menjadi pemain badminton negara.

"Walaupun kami di luar BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kami buktikan kami boleh maju berdasarkan pengalaman yang saya ada ketika menjadi jurulatih negara luar. Sudah pasti saya mahu anak saya mnejadi juara untuk negara sendiri iaitu Malaysia.

"Saya sedih selepas apa yang saya lakukan selama ini untuk majukan badminton negara, termasuk ketika Zulfadli muncul juara remaja dunia dan Asia (2011), tapi akhirnya anak saya diperlakukan sedemikian.

"Ketika anak saya menjadi pemain (perseorangan lelaki) pertama menjadi juara remaja dunia dan lagu Negaraku berkumandang, saya secara tidak sedar menitiskan air mata," kata Zulkiffli.

Mengulas lanjut, Zulkiffli mengakui beliau tertekan dengan pertuduhan yang dihadapi anaknya tetapi menegaskan akan berjuang habis-habisan bagi menegakkan kebenaran.

"Dengan pertolongan Allah, sudah pasti saya akan berjuang habis-habisan (bagi menegakkan kebenaran)," katanya.

Zulfadli didapati bersalah mengatur perlawanan oleh BWF dan dikenakan hukuman gantung selama 20 tahun serta denda AS$25,000 (RM98,000).

Berita Harian X