Selasa, 5 Jun 2018 | 5:39pm
EMPAT musuh utama Datuk Lee Chong Wei dijangka menjadi lawannya dalam laluan ke final Terbuka Malaysia 26 Jun hingga 1 Julai ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

4 musuh utama tunggu Chong Wei 

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan berliku bagi merealisasikan impian meraih gelaran ke-12 Terbuka Malaysia yang bermula 26 Jun hingga 1 Julai ini. 

Ini kerana, empat musuh utamanya iaitu Viktor Axelsen, Chen Long, Shi Yuqi dan Lin Dan dijangka menjadi lawannya dalam laluan ke final kejohanan yang bakal berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil itu.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Chong Wei, 36, akan membuka tirai saingan menentang pemain Jepun, Kazumasa Sakai di pusingan pertama dan jika menang dia kemungkinan bertemu pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il bagi perebutan tempat ke suku akhir. 

Axelsen yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, hampir pasti menantinya jika layak ke suku akhir manakala salah seorang daripada tiga pemain China iaitu Chen Long, Lin Dan, Shi Yuqi akan menjadi lawan di separuh akhir. 

Sebagai rekod, Chong Wei yang juga pemain nombor tujuh dunia gagal meraih gelaran ke-12 Terbuka Malaysia tahun lalu selepas tewas di tangan Lin Dan dalam aksi final.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan membuka tirai saingan menentang pasangan Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash manakala perseorangan wanita, Sonia Cheay berdepan tugas mencabar apabila menentang pilihan pertama dari Taiwan, Tai Tzu Ying di pusingan pertama.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Soong Fie Cho pula diundi bertemu Naoko Fukuman-Kurumi Yonao dari Jepun manakala pemenang pingat perak beregu campuran Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berdepan Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, berharap peminat badminton tempatan dapat memenuhi Axiata Arena bagi memberi sokongan kepada pemain negara selain peluang menyaksikan kelibat bintang utama dunia.

"Terbuka Malaysia kali ini lebih istimewa apabila semua 10 pemain terbaik dunia untuk semua kategori sudah mengesahkan diri bagi menyertai kejohanan ini. Jadi, saya harap semua peminat tempatan dapat hadir. 

"Lagipun, kami ada melakukan perubahan masa perlawanan. Dua hari pertama, saingan bermula lewat sedikit berbanding edisi sebelum ini, jadi selepas habis waktu kerja pun peminat boleh hadir," kata Michelle ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Berita Harian X