Ahad, 1 Julai 2018 | 8:02pm
LEE Chong Wei - Foto AFP

Iskandar bukan budak-budak: Chong Wei

 

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin daripada Sukan Asia 2018 adalah keputusan tepat.

Iskandar digugurkan selepas didapati merokok ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei lalu dan tempatnya akan digantikan oleh Soong Joo Ven.

Sebagai pemain paling senior, Chong Wei menegaskan disiplin adalah perkara paling penting untuk pemain dan tabiat merokok nyata tidak baik kerana ia mampu menjejaskan tahap kecergasan pemain.

"Saya fikir semua orang tahu merokok adalah tidak bagus untuk pemain. Kamu tidak boleh mencapai tahap kercergasan paling tinggi jika merokok. Iskandar bukannya budak-budak lagi yang perlu dimarahi jurulatih hari-hari," kata Chong Wei.

"Sepatutnya dia tahu apa yang baik dan tidak untuk kerjayanya. BAM pun sudah beri banyak peluang kepada dirinya, semuanya terletak di tangan pemain sendiri...tidak boleh salahkan persatuan atau jurulatih.

"Jadi saya harap Iskandar akan bangkit daripada kesilapan ini."

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek tetap percaya Iskandar masih mampu untuk menjadi pemain yang baik jika meninggalkan tabiat merokoknya tetapi mustahil untuk menjadi seperti Chong Wei.

"Ketika latihan dia memberikan komitmen yang penuh dan dia adalah contoh kepada pemain muda yang lain. Namun, apa yang berlaku di luar adalah di luar bidang atau kawalan saya.

"Dia masih ada masa untuk menjadi pemain seperti Wong Choon Hann sekurang-kurangnya. Namun, untuk menjadi seperti Chong Wei adalah mustahil," kata Misbun.

Berita Harian X