Sabtu, 4 Ogos 2018 | 11:07am
GAMBAR fail, pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Wooi Yik Soh. - Foto Eizairi Shamsudin

BAM pertimbang senarai Aaron-Wooi Yik, Daren ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Prestasi luar biasa beregu muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China membuka pintu untuk mereka disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 dari 19 hingga 28 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai mengakui badan induk itu sedang mempertimbangkan untuk membawa Aaron-Wooi Yik yang terkandas pada suku akhir Kejohanan Dunia, malam tadi ke Jakarta.

Situasi itu menyaksikan salah satu beregu lelaki yang sudah disenaraikan - Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mungkin digugurkan bagi memberi laluan kepada Aaron-Wooi Yik yang sememangnya berhak mendapat tempat beraksi di Sukan Asia berikutan prestasi cemerlang mereka.

"Ya, kami sedang mempertimbangkan kemungkinan itu (menyenaraikan Aaron-Wooi Yik ke Sukan Asia). Lagipun, nama mereka memang berada dalam senarai panjang untuk ke Sukan Asia yang dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini.

"Pertukaran pemain masih lagi dibenarkan hingga mesyuarat pengurus pasukan pada 16 Ogos. Kami akan mengadakan mesyuarat sebaik pulang ke Malaysia bagi memutuskan mengenai perkara ini," kata Chin Chai ketika dihubungi.

Kelibat pasangan ranking ke-39 dunia itu yang membuat penampilan pertama di Kejohanan Dunia mencuri tumpuan apabila mencipta kejutan demi kejutan sejak pusingan awal sebelum tewas di tangan pilihan keempat dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 14-21, 22-24 pada suku akhir.

Dalam pada itu, Chin Chai turut memaklumkan nama pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren turut akan dipertimbangkan bagi membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia.

Ditanya sama ada nama Daren berada dalam senarai panjang yang dihantar ke MOM, Chin Chai berkata: "Ya, BAM sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Kami akan membincangkan kemungkinan untuk menyenaraikan tiga pemain (Aaron-Wooi Yik dan Daren) dalam mesyuarat nanti."

Pemain berusia 31 tahun itu meraih pencapaian luar biasa sepanjang 14 tahun bergelar pemain badminton apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia selepas menewaskan pemain muda Jepun, Kanta Tsuneyama 22-20, 21-23, 22-20 pada suku akhir, malam tadi.

BAM sebelum ini menyenaraikan empat perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Soon Joo Ven dan Cheam June Wei yang menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan.

Berita Harian X