Isnin, 6 Ogos 2018 | 3:57pm

Siapa jadi mangsa korban?

KUALA LUMPUR: Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hampir pasti membuat perubahan terhadap senarai pemain yang bakal mewakili negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang bermula 18 Ogos ini, situasi itu jelas akan menyaksikan ada pemain yang terpaksa dikorbankan.

Terdahulu, badan induk itu mengakui sedang mempertimbangkan nama beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Liew Daren bagi disenaraikan susulan prestasi luar biasa yang ditunjukkan mereka ketika Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China yang berakhir, semalam.

Aaron-Wooi Yik yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan itu cemerlang apabila mara sehingga suku akhir manakala Daren berjaya meraih pingat gangsa hasil kemaraannya ke separuh akhir.

Daren menjadi pemain perseorangan ketiga Malaysia yang berjaya meraih pingat selepas Datuk Lee Chong Wei (tiga perak - London 2011, Guangzhou 2013 dan Jakarta 2015) dan Wong Choong Hann (perak - Birmingham 2003).

Jika Daren disenaraikan, salah seorang daripada empat pemain perseorangan lelaki yang sudah disenaraikan sebelum ini iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei perlu digugurkan.

Begitu juga membabitkan acara beregu lelaki yang mana Goh V Shem- Tan Wee Kiong atau Teo Ee Yi-Ong Yew Sin perlu digugurkan bagi memberi laluan kepada Aaron-Wooi Yik.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan, Rabu ini.

"Kami tidak boleh menyenaraikan pemain baharu begitu saja, sebaliknya mereka perlu digantikan dengan pemain yang sudah disenaraikan kerana setiap negara hanya boleh mendaftarkan maksimum 10 pemain lelaki dan 10 wanita.

"Jadi, dalam hal ini, kami perlu menggugurkan pemain sedia ada jika membuat keputusan untuk menyenaraikan pemain baharu. Kami sedang mengumpul semua maklumat yang diperlukan termasuk mendapat laporan perubatan kerana ada pemain yang mengalami kecederaan.

"Apapun, kami akan umumkan keputusan mengenai senarai pemain ke Sukan Asia pada Rabu ini," kata Chin Chai ketika dihubungi.

Chin Chai yang juga Setiausaha Kehormat BAM memaklumkan acara beregu campuran juga kemungkinan besar akan menyaksikan perubahan dalam senarai pemain susulan kecederaan dialami Goh Liu Ying ketika Kejohanan Dunia dan pihaknya sedang menanti laporan perubatan.

Berita Harian X