Khamis, 30 Ogos 2018 | 2:44pm
Serena dan kakaknya, Venus Williams. - Foto AFP
Serena dan kakaknya, Venus Williams. - Foto AFP

Venus tak sabar perlawanan bertemu Serena

NEW YORK: Serena dan kakaknya, Venus Williams akan bertemu buat kali ke-30 dalam karier mereka dalam pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat.

Juara enam kali, Serena melangkah ke pusingan ketiga yang bakal berlangsung esok bertemu kakaknya selepas kemenangan 6-2, 6-2 kepada pemain nombor 101 dunia dari Jerman, Carina Witthoeft.

Venus pula yang memenangi kejuaraan pada tahun 2000 dan 2001, mara ke pusingan ketiga buat kali ke-17 selepas menundukkan pemain Itali, Camila Giorgi 6-4, 7-5.

Perlawanan esok adalah perlawanan pusingan paling awal membabitkan pertemuan kedua beradik ini dalam Grand Slam pada Terbuka Australia 1998. Ia juga adalah pertemuan kali keenam buat mereka di New York.

“Jumaat ini bakal menjadi sangat sukar,” kata Serena sambil berjenaka dengan mendakwa pertemuan terakhir mereka di Grand Slam pada final Terbuka Australia 2017 memberinya kelebihan kerana bermain “dua lawan seorang” yang mana dia mengandung anak sulung ketika itu.

“Saya rasa saya mempunyai sedikit kelebihan sebelum ini tetapi ia bakal menjadi sukar buat saya pada Jumaat,” kata Serena yang berumur 36 tahun.

Serena, dalam bidaan untuk merekodkan gelaran Grand Slam kali ke-24, mempunyai kelebihan daripada segi rekod kemenangan sebelum ini apabila dia mendahului dengan 17-12.

“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar kerana bertemu pada awal kejohanan. Kami mahu bermain pada pusingan kemudian tetapi ini adalah apa yang terjadi. Ia bukanlah penamat dunia,” kata Serena.

Venus, 38, yang bermain dalam Grand Slam kali ke-80, merangkul kemenangan ke-775 dalam kariernya selepas menewaskan Giorgi. – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X