X
Sabtu, 8 September 2018 | 9:03am
Juan Martin del Potro. - Foto EPA
Juan Martin del Potro. - Foto EPA

Tuah Del Potro

NEW YORK: Juan Martin del Potro mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi selepas penyandang juara dan pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal menarik diri daripada perlawanan susulan kecederaan lutut.

Pilihan ketiga, Del Potro, yang juga juara pada 2009 sedang mendahului 7-6 (7/3), 6-2 sebelum Nadal menarik diri. 

Pemain dari Argentina itu akan bertemu sama ada jaguh Serbia, Novak Djokovic yang juga juara edisi 2011 dan 2015 atau bintang Jepun, Kei Nishikori di pentas final. 

“Saya benci untuk menarik diri,” kata Nadal yang mengharungi beberapa siri kecederaan lutut sepanjang kariernya. “Ia bukannya perlawanan apabila seseorang sedang bermain dan seorang lagi berada di sudut gelanggang.”

Nadal yang memburu gelaran keempat di New York dan Grand Slam ke-18 mengharungi 16 jam perlawanan untuk melangkah ke separuh akhir. 

Usaha kerasnya itu menyebabkan jaguh Sepanyol berkenaan memerlukan balutan di lutut kanannya sebelum menamatkan permainan pada set kedua.

“Sudah tentu ia bukan cara yang terbaik untuk memenangi perlawanan. Saya gemar bermain menentang Rafa kerana dia seorang pejuang yang hebat dalam sukan ini dan saya tidak gemar melihatnya menderita,” kata Del Potro, 29 yang akan beraksi di pentas Grand Slam keduanya.

“Saya sedih untuknya tetapi saya juga gembira untuk memberikan yang terbaik.”

Prestasi Nadal jelas merosot pada seawal set pertama dengan kecederaan tampak memberi kesan selepas permainan keempat dan memerlukan balutan di lutut kanannya selepas permainan ketujuh.

Begitupun, dia berjaya mengheret perlawanan ke penentuan break, tetapi Del Potro jelas berada di prestasi terbaik apabila melengkapkan set pertama dalam tempoh 69 minit.

Pada set kedua, Del Potro merampas servis Nadal untuk mendahului 3-1 dan 5-2 sebelum mengesahkan tempat ke final. 

“Sungguh bermakna untuk kembali ke final,” kata Del Potro selepas merakam kemenangan keenamnya ke atas Nadal dan kesemuanya di atas gelanggang keras. 

“Saya tidak menjangkakan satu lagi final Grand Slam di kejohanan kegemaran saya. Saya mempunyai memori yang indah di gelanggang ini pada 2009 apabila saya menewaskan Rafa dan Roger (Federer di final). Saya masih budak-budak ketika itu, kini saya lebih dewasa.” - AFP

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X