Ahad, 9 September 2018 | 11:36am
Rafael Nadal. - Foto AFP
Rafael Nadal. - Foto AFP

Nadal terlepas aksi separuh akhir Piala Davis

MADRID: Rafael Nadal menarik diri daripada beraksi di separuh akhir Piala Davis bertemu Perancis minggu depan, selepas mengalami kecederaan lutut di Terbuka Amerika Syarikat (AS), umum Persekutuan Tennis Sepanyol, hari ini.

“Rafa Nadal tidak akan beraksi untuk pertemuan dengan Perancis di Lille. Kecederaan lutut yang dialaminya ketika Terbuka AS menyebabkannya mengambil keputusan untuk tidak beraksi di saingan separuh akhir,” kata kapten Sepanyol, Sergi Bruguera.

“Kami berharap dia segera pulih dan terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan kepada pasukan Sepanyol di Piala Davis,” tambahnya.

Nadal akan digantikan oleh pemain ranking ke-52 dunia, Albert Ramos-Vinolas pada saingan yang berlangsung dari 14 hinggga 16 September bertemu Perancis selaku juara bertahan, dengan Sepanyol memburu final pertama sejak 2012.

Nadal ketinggalan dua set ketika bertemu Juan Martin del Potro di New York pada aksi separuh akhir, sebelum mengalami kecederaan lutut, masalah berpanjangan yang sering dialami pemenang 17 gelaran Grand Slam itu.

“Saya tahu mengenai kecederaan lutut ini. Saya perlu segera sembuh secepat mungkin.

“Ia situasi yang sukar tetapi saya akan terus bekerja keras untuk memanfaatkan segala peluang yang ada,” kata Nadal.

Ia adalah kejohanan utama kedua yang menyaksikan Nadal terpaksa menarik diri selepas mengalami masalah sama di suku akhir Terbuka Australia, ketika bertemu Maric Cilic kerana kecederaan otot koyak. – AFP

Berita Harian X