Selasa, 16 Oktober 2018 | 5:42pm
Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei bergambar bersama pingat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas memenangi pingat emas pada acara badminton perseorangan wanita Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires Argentina. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Jin Wei gegar empat tahun lagi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock percaya anak didiknya, Goh Jin Wei mampu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen negara pada Sukan Asia 2022 dan Olimpik 2024.

Bagaimanapun Seu Bock berkata, untuk merealisasikan matlamat itu, Jin Wei, 18, perlu melalui pelbagai proses terutama bagi menguatkan mental dan fizikal serta mematangkannya.

“Secara jujur, perjalanan Jin Wei masih panjang. Dia perlu melalui pelbagai proses terutama untuk menguatkan mental dan fizikal selain sikapnya ketika latihan. Semua proses ini perlu dilalui peringkat demi peringkat.

“Saya fikir untuk Sukan Asia 2022 dan Olimpik 2024 dia boleh bersedia.

“Kalau anda lihat, pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia ketika ini rata-rata berusia 23 dan 24 tahun. Mereka dijangka mencapai kemuncak prestasi pada Olimpik Tokyo 2020 pada usia 25 dan 26 tahun.

“Jadi, peluang terbaik untuk Jin Wei menyerlah adalah selepas itu. Bagi Tokyo 2020, saya fikir tiada masalah untuk Jin Wei layak tapi untuk menjadi pencabar pingat, agak sukar... apa pun, tiada apa yang mustahil kerana banyak kejutan berlaku pada temasya besar,” kata Seu Bock.

Jin Wei yang menghuni ranking ke-27 dunia menjadi tumpuan selepas dia mencipta sejarah muncul atlet pertama negara meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Belia Buenos Aires 2018 dalam acara perseorangan wanita hasil kejayaannya menumbangkan pemain China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-18 dalam aksi final.

Seu Bock berkata, peningkatan ditunjukkan pemain berasal dari Pulau Pinang itu membuatkan dia kini di landasan tepat bagi mencapai matlamat yang disandarkan terutama sejak dia diberi peluang beraksi lebih kerap dalam kejohanan peringkat senior awal tahun ini.

“Dia kini dalam proses untuk belajar cara menguatkan mentalnya kerana bermain di peringkat senior semua perlawanan sukar.

“Dia perlu tahu bagaimana untuk kekalkan prestasi pada tahap terbaik setiap hari dan ia memerlukan kekuatan mental untuk mengharunginya,” kata Seu Bock.

Berita Harian X