Sabtu, 20 Oktober 2018 | 4:25pm
DATUK Seri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Luar Biasa di Akademi Badminton Malaysia. - Foto BERNAMA

BAM pilih Choong Hann

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Wong Choong Hann sebagai pengarah kejurulatihan baharu badan induk itu dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, salah satu tugas utama bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu adalah merealisasikan matlamat memenangi pingat emas pada Olimpik Tokyo 2020.

"Pelantikan ini adalah bagi melengkapkan struktur kejurulatihan yang ada sekarang dengan semua lima ketua jurulatih akan menghantar laporan kepada Choong Hann. Namun, Choong Hann hanya bertanggungjawab terhadap struktur kejurulatihan skuad kebangsaan.

"Sudah pasti salah satu tugas utamanya adalah meraih emas pada Tokyo 2020 tetapi untuk meletakkan ia sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama), kami perlu berbincang dengan dia dulu. Ia perlu dibuat berdasarkan situasi semasa dan kemampuan pemain yang ada sekarang.

"Selain Choong Hann, kami ada beberapa lagi calon termasuk pakar dari luar negara. Namun, melihat kepada situasi semasa dan kekangan kewangan, Choong Hann adalah pilihan terbaik.

"Saya percaya Choong Hann mampu bekerjasama baik dengan semua jurulatih bagi mencapat matlamat Tokyo 2020," kata Norza selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa BAM di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Selain Choong Hann, bekas pakar beregu lelaki Indonesia, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek difahamkan turut menjadi antara calon utama bagi jawatan berkenaan.

Choong Hann bukanlah nama asing dalam badminton tanah air dengan dia antara pemain Malaysia yang berjaya di pentas antarabangsa dengan pernah memegang status sebagai pemain nombor satu dunia.

Dia juga pemain Malaysia pertama yang meraih pingat dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia selain membantu skuad negara muncul naib juara dua kali pada saingan Piala Thomas 1998 dan 2002. 

Berita Harian X