Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:54pm
RAFAEL Nadal. - EPA

Nadal cuba servis baharu di Terbuka Australia

MELBOURNE: Rafael Nadal mendedahkan dia kini kembali cergas sepenuhnya dan bakal tampil dengan teknik servis lebih berbisa di Terbuka Australia. 

Pemain nombor dua dunia itu terpaksa menarik diri di Melbourne Park tahun lalu apabila tidak mampu meneruskan perjuangan di suku akhir ketika menentang Marin Cilic kerana kecederaan. 

Juara Grand Slam 17 kali itu terpaksa berehat hampir tiga bulan dan menjalani pembedahan kerana masalah kecederaan pada kaki. 

Dia turut menarik diri daripada kejohanan pemanas badan di Brisbane kerana mengalami kekejangan paha, namun Sabtu lalu mengumumkan kecederaan itu sudah pulih. 

"Saya sudah pulih. Jika saya tidak berasa selesa saya tidak akan berada di sini," kata Nadal dua hari sebelum saingan Grand Slam pertama tahun ini bermula. 

"Saya rasa selesa dengan pembedahan yang dilakukan. Selepas pembedahan, selepas berbulan-bulan tidak bersaing, mengalami kesukaran ketika berlatih dan tentu saja akan timbul masalah apabila anda kembali. 

“Tapi ia bukan sesuatu yang baru bagi saya. Banyak perkara yang perlu sentiasa diperbaiki. Servis selalu menjadi perkara utama yang saya cuba untuk perbaiki dan saya rasa saya berjaya melakukannya."

Berita Harian X