Ahad, 10 March 2019 | 9:25am
Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Wooi Yik Soh beraksi pada separuh akhir Seluruh England, tengah malam tadi. - Foto Reuters

Aaron-Wooi Yik ke final Seluruh England

 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Woh Sooi Yik hanya selangkah untuk mencipta sejarah menjadi pasangan pertama Malaysia menjuarai saingan badminton Seluruh England dalam tempoh 12 tahun apabila turun beraksi dalam acara final di Arena Birmingham, tengah malam ini.

Gandingan muda negara itu yang tidak diletakkan harapan, mara ke final selepas mengetepikan cabaran pilihan kelapan dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian 12-21, 22-20, 21-19 dalam aksi separuh akhir pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik akan menentang satu lagi pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi final, selepas bekas juara dunia itu menewaskan pilihan ketiga, Takeshi Kamura- Keigo Sonodo 21-19, 21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagi Aaron, 22, dia dan gandingannya Wooi Yik berharap dapat meneruskan rentak itu hingga ke aksi final apatah lagi ia peluang terbaik untuk mereka memenangi gelaran utama dunia.

"Memang kami amat gembira dengan kejayaan ini. Cuma untuk esok (malam ini) kami enggan terlalu meletakkan tekanan. Kami hanya mahu melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi.

Bergu lelaki negara, Aaron Chia-Woh Sooi Yik ketika menentang pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada saingan separuh akhir badminton Seluruh England di Arena Birmingham, tengah malam tadi. - Foto Reuters

Sementara itu, Wooi Yik pula menaruh harapan dapat memenangi gelaran pertama Seluruh England dalam penampilan sulung mereka di kejohanan itu. 

"Ini adalah penampilan pertama kami di Seluruh England dan final pertama di kejohanan utama. Sudah lama Malaysia tidak memenanginya. Saya harap kami dapat memenanginya untuk Malaysia," kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik juga muncul satu-satunya wakil negara akan beraksi pada pentas final hari ini selepas semua wakil negara terkandas lebih awal.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Mengulas mengenai aksi separuh akhir, Aaron menjelaskan mereka tidak mempunyai apa-apa ramuan istimewa sebaliknya hanya mengekalkan fokus selepas dipaksa bertarung hingga ke mata terakhir set penentuan.

"Kami tidak terlalu memikirkan sangat apabila kami dipaksa bertarung ke hujung set penentuan, kami hanya fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Terdahulu dalam aksi suku akhir, mereka juga berdepan situasi sama apabila dipaksa bermandi peluh sebelum membenam juara dunia dari China, Liu Cheng-Zheng Nan 21-19, 17-21, 21-12.

Berita Harian X