Rabu, 3 April 2019 | 10:35pm
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia sewaktu menentang pemain Thailand pada perlawanan hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Zii Jia tumbang, Jin Wei mara

KUALA LUMPUR: Skrip berbeza dihidangkan dua bintang muda badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dalam aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.

Zii Jia yang diletakkan sebagai sandaran dalam acara perseorangan lelaki gagal untuk menyerlahkan kemampuan sebenarnya apabila tewas di tangan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 17-21, 21-19, 15-21.

Kekalahan juara Terbuka Taiwan 2018 itu menyaksikan cabaran Malaysia dalam acara berkenaan berakhir selepas pemain profesional, Liew Daren turut tersingkir di pusingan pertama, semalam.

Juara Terbuka Malaysia 12 kali, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada menyertai kejohanan selepas masih belum pulih susulan kanser hidung dihidapinya sebelum ini.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei beraksi menentang pemain Thailand, Nitchaon Jindapol pada hari kedua Kejohanan Terbuka Celcom Axiata 2019, di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad

Terdahulu, juara remaja dunia dua kali, Jin Wei cemerlang apabila melangkah ke pusingan kedua perseorangan wanita selepas menewaskan Nitchaon Jindapol dari Thailand 21-13, 21-12.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu, berkata rahsia dia dapat menjinakkan Nitchaon buat kali kedua berturut-turut adalah menikmati permainan di dalam gelanggang tanpa meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.

"Saya berharap untuk kejohanan ini saya mendapat rentak seperti mana beraksi di Masters Malaysia dan Terbuka Jerman (mara sehingga ke separuh akhir).

"Bagaimanapun, cabaran di sini berbeza kerana taraf kejohanan yang lebih tinggi. Saya perlu fokus satu demi satu perlawanan," katanya yang baru pulih daripada kecederaan hamstring.

Sementara itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean gagal mengulangi pencapaian di Terbuka India, apabila tumpas kepada pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-12, 10-21, 15-21.

Berita Harian X