Khamis, 25 April 2019 | 6:47pm
BEREGU lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggalas cabaran negara pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

BAC: Hanya Aaron-Wooi Yik teruskan perjuangan

 

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memikul tanggungjawab menggalas cabaran negara pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China.

Ini selepas semua wakil negara yang beraksi dalam pusingan kedua, hari ini tumbang susulan tewas di tangan lawan masing-masing.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik tidak perlu turun ke gelanggang apabila mengesahkan tempat ke suku akhir selepas lawan mereka yang juga bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan menarik diri.

Difahamkan, pasangan Indonesia itu menarik diri selepas Ahsan mengalami demam sejak semalam.

"Kami perlu kekal fokus dan buat persiapan terbaik bagi menghadapi perlawanan suku akhir esok. Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan," kata Aaron.

Peluang Aaron-Wooi Yik yang juga finalis Seluruh England 2019 untuk mara ke separuh akhir tinggi apabila dijadual bertemu beregu Korea Selatan, Min Hyuk Kang-Kim Won Ho pada aksi suku akhir, esok.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi tujuh lagi wakil negara yang lain untuk ke kelompok lapan terbaik apabila terkandasi di pusingan kedua.

Mereka ialah perseorangan lelaki, Chong Wei Feng; perseorangan wanita, Soniia Cheah; dua beregu lelaki, Mohd Arif Latif-Nur Azryn Ayub dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin; beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Berita Harian X