Khamis, 25 April 2019 | 8:05pm
LEE Chong Wei
LEE Chong Wei

Chong Wei beri 'restu'

 

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei 'merestui' pemilihan tiga pemain perseorangan lelaki negara yang disenaraikan bagi membawa cabaran Malaysia pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China, bulan depan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven sememangnya berhak berada dalam pasukan memandangkan mereka boleh dianggap tiga perseorangan lelaki terbaik dimiliki Malaysia ketika ini.

"Memang merekalah yang terbaik ketika ini. Lagipun, kita tidak ada banyak pilihan dalam perseorangan lelaki.

"Saya percaya mereka mampu menggalas tanggungjawab diberikan. Rata-rata pemain yang disenaraikan untuk kejohanan kali ini masih muda dan saya berharap mereka boleh berikan aksi terbaik.

"Mereka perlu menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh beraksi dalam kejohanan besar seperti Piala Sudirman. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada pasukan kita kali ini," kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Saingan Piala Sudirman yang bakal bermula dari 19 hingga 26 Mei depan itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D yang dianggap 'kumpulan maut' bersama juara 10 kali, China dan India.

Nama Chong Wei terpaksa diketepikan daripada kempen kali ini memandangkan dia masih belum bersedia membuat kemunculan semula sejak kali terakhir beraksi pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu masih dalam proses pemulihan susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Chong Wei mengakui dia masih belum bersedia kembali beraksi dalam kejohanan antarabangsa selain nasihat daripada doktor pakar yang merawatnya.

"Saya belum bersedia lagi, saya mahu rehat dulu. Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang lebih penting adalah kesihatan saya.

"Namun, dalam masa sama saya akan cuba yang terbaik untuk kembali beraksi dalam kejohanan secepat yang mungkin," kata Chong Wei yang rankingnya jatuh di kedudukan ke-73 ketika ini selepas hampir 10 bulan tidak menyertai kejohanan. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X