Isnin, 29 April 2019 | 9:28pm

Buruan ke Tokyo bermula

KUALA LUMPUR: Pemburuan mata bagi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi sukan badminton secara rasminya akan bermula, esok dengan Terbuka New Zealand menjadi kejohanan pertama menawarkan mata.

Sebanyak 15 wakil negara termasuk pemain profesional akan beraksi pada kejohanan di Auckland itu yang turut membuka tirai saingannya, esok.

Bagaimanapun, tumpuan bagi pusingan kelayakan yang berlangsung selama setahun itu pastinya terarah kepada persaingan dalam beregu lelaki dan beregu campuran membabitkan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan profesional.

Dua wakil BAM, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin selain dua pasangan luar, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub dilihat antara prospek yang mampu melayakkan diri ke Tokyo.

Bagi acara beregu, setiap negara layak mempunyai dua wakil sekiranya kedua-duanya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman mahu melihat persaingan yang sihat antara semua pemain dan tidak merasakan sebarang kelebihan buat anak didiknya biarpun pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong kini mengalami kemerosotan prestasi.

"Mungkin sekarang kita lihat V Shem-Wee Kiong agak bergelut tetapi ia sebelum pusingan kelayakan bermula. Apa yang paling penting adalah sepanjang setahun tempoh pusingan kelayakan itu,” kata Paulus.

"Bagi saya, ia akan menjadi persaingan yang sihat untuk acara beregu lelaki. Jika mereka benar-benar mahu layak ke Olimpik, mereka perlu menghasilkan keputusan yang baik sejak dari awal lagi.

"Di penghujungnya nanti, siapa yang menghasilkan keputusan yang lebih baik, dia akan layak ke Olimpik."

Dalam acara beregu campuran, ia boleh dianggap persaingan membabitkan persaingan tiga penjuru membabitkan dua wakil BAM, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga pemenang perak Olimpik Rio 2016.

Tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei yang masih belum pasti bila mampu membuat kemunculan semula di pentas antarabangsa, Lee Zii Jia dilihat di landasan terbaik untuk layak ke Tokyo.

Juara remaja dunia, Goh Jin Wei diletakkan sandaran untuk layak dalam acara perseorangan wanita manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean berada di landasan terbaik bagi mewakili negara untuk acara beregu wanita.

Berita Harian X