Rabu, 1 Mei 2019 | 7:45pm
LEE Zii Jia.

Zii Jia kejutkan Nishimoto

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menyifatkan kemenangan pusingan pertama di Terbuka New Zealand hari ini sebagai permulaan yang baik dalam misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Zii Jia, 21, cemerlang apabila melakar kejutan menewaskan pemain ranking ke-10 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-18, 21-12 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Eventfinda, Auckland.

Dia akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Jepun, Kazumasa Sakai bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

"Ia kemenangan yang positif untuk saya dan permulaan yang baik terutama ini adalah kejohanan pertama untuk pusingan kelayakan Olimpik,” kata Zii Jia yang dilihat sudah mengatasi prestasi tidak menentu dalam beberapa kejohanan terakhir sebelum ini.

"Perlawanan ini cukup penting untuk saya dan saya cuba menikmatinya sebaik mungkin. Saya harap dapat menghasilkan keputusan yang baik di sini."

Dia juga dipalit dengan kontroversi apabila meluahkan perasaan di laman media sosial dengan mengakui masalah kewangan menjadi salah satu faktor prestasinya merosot.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional, Chong Wei Feng turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 17-21, 21-13, 21-16.

Bagaimanapun, dia berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu pilihan pertama yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, esok.

Dalam saingan beregu lelaki, tiga wakil negara yang bersaing hebat bagi merebut tempat ke Tokyo turut bermula cemerlang apabila layak ke pusingan diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan pasangan profesional Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut melangkah ke pusingan kedua.

Berita Harian X