Selasa, 21 Mei 2019 | 4:15pm
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menewaskan Sameer Verma 21-13, 21-15. - Foto AFP
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menewaskan Sameer Verma 21-13, 21-15. - Foto AFP

Peluang Malaysia cerah ke suku akhir Piala Sudirman

KUALA LUMPUR: Secara realistiknya, Malaysia sudah pun melangkah ke suku akhir Piala Sudirman 2019 selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas India dalam aksi Kumpulan D di Nanning, China, sebentar tadi.

Bagaimanapun, skuad badminton negara tetap perlu menunggu sehingga pertemuan antara China dengan India, esok bagi mengetahui nasib sama ada layak ke pusingan kalah mati atau sebaliknya.

Hanya keajaiban luar biasa mampu menafikan hak Malaysia ke suku akhir dengan China yang juga juara 10 kali dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan India.

Ahad lalu, China membuka tirai kempen kali ini dengan menewaskan Malaysia 5-0 dan kemenangan ke atas India akan membolehkan mereka muncul juara kumpulan manakala skuad negara di tempat kedua.

Terdahulu, tiga mata kemenangan skuad negara disumbangkan menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menewaskan Sameer Verma 21-13, 21-15 selain gandingan pecahan beregu lelaki, Aaron Chia-Teo Ee Yi yang menumbangkan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20.

Mata ketiga skuad negara disumbangkan menerusi kemenangan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menang ke atas Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki 21-11, 21-19.

Malaysia terlepas dua mata menerusi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tewas kepada Satwsiksairaj Rankireddy- Ashwini Ponnappa 21-16, 17-21, 22-24 dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang akur dengan kekalahan di tangan pemain nombor lima dunia, P V Sindhu 12-21, 18-21.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Teo Ee Yi yang menumbangkan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20. - Foto AFP
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Teo Ee Yi yang menumbangkan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20. - Foto AFP

KEPUTUSAN PIALA SUDIRMAN 2019

KUMPULAN D

Malaysia 3 India 2

Beregu campuran:

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie kk Satwsiksairaj Rankireddy- Ashwini Ponnappa 21-16, 17-21, 22-24

Perseorangan lelaki:

Lee Zii Jia mn Sameer Verma 21-13, 21-15

Perseorangan wanita:

Goh Jin Wei kk P V Sindhu 12-21, 18-21

Beregu lelaki:

Aaron Chia-Teo Ee Yi mn Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20, 21-19

Beregu wanita:

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mn Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki 21-11, 21-19

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X