Isnin, 22 Julai 2019 | 7:33pm
Aifa yakin untuk memberikan tentangan sengit pada penyertaan kali kelimanya pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia WSF. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Undian baik beri peluang buat Aifa

KUALA LUMPUR: Sandaran negara, Aifa Azman yakin untuk memberikan tentangan sengit pada penyertaan kali kelimanya pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia WSF bermula 30 Julai hingga 9 Ogos ini di Pusat Skuasy Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Selepas kandas pada kelompok 16 terbaik kejohanan tahun lalu, Aifa yang diletakkan sebagai pemain pilihan 3/4 itu berkata, beliau bernasib baik memperoleh undian sangat baik kali ini dengan berjaya mengelak pemain Mesir di peringkat awal.

"Pada tahun lalu saya kalah dalam kalangan 16 terbaik bertemu pemain Mesir (Farida Mohamed). Kali ini, saya akan gunakan undian yang baik untuk melakukan lebih baik.

"Biarpun tidak berjaya merangkul gelaran remaja Asia dan gelaran kebangsaan, saya yakin akan kembali bangkit apa lagi sebelum ini saya masih belum pulih daripada kecederaan (lutut) sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas sidang media, hari ini.

Dalam undian berkenaan, Aifa memperoleh ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan bertemu pemain New Zealand, Ella Lash atau pemain Norway, Madeleine Hylland dalam pusingan kedua.

Jika melepasi pusingan awal, beliau dijangka bertemu pemain Amerika Syarikat, Elisabeth Ross dalam pusingan keempat dan berjumpa pilihan kelima dari England, Elise Lazarus pada suku akhir.

Pada Jun lalu, Aifa tewas kepada rakan senegara, Chan Yiwen pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Macau dalam kategori bawah 19 tahun, namun beliau akan bergandingan dengan Yiwen, Ooi Kah Yan dan Noor Aina Amani Ampandi dalam acara berpasukan wanita pada 5-9 Ogos ini.

"Bagi acara berpasukan, kami tidak ada tekanan biarpun dua tahun lalu kami berjaya ke final. Kami berlatih bersama dengan baik dan sudah memahami sesama sendiri, jadi saya yakin kami akan membentuk pasukan yang kuat dan memberi sokongan sesama sendiri," katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen A Daud berkata, badan induk itu mengharapkan pemain negara menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk memperoleh kejayaan.

"Selepas 18 tahun tidak menganjurkannya, kami rasa kali ini adalah masa terbaik untuk membawa kejohanan ini di sini. Kami berharap pemain negara dapat berusaha kuat dan kejayaan akan tiba kemudian," katanya.

Kali terakhir pasukan negara menganjurkan Kejohanan Skuasy Remaja Dunia adalah pada 2001 di Pulau Pinang.

Berita Harian X