Isnin, 22 Julai 2019 | 9:21pm
WEI Ying meraih tempat ketiga perseorangan wanita Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia di Taipei, semalam.

Wei Ying raih gangsa Badminton Pekak Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita, Boon Wei Ying terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama, Shen Yan-Ru 20-22, 16-21 untuk berpuas hati dengan pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia 2019, hari ini.

Kemaraan anak jati Melaka berusia 24 tahun yang tidak dilabel sebarang pilihan ini tetap dianggap membanggakan malah dia memberikan tentangan hebat sekalipun pemain tuan rumah tetap mengungguli aksi separuh akhir di Gimnasium Taipei, Taiwan itu.

Sebutir gangsa dalam kejohanan edisi kelima ini adalah pencapaian kedua terbaik Wei Ying selepas merangkul perak beregu campuran Sukan Deaflympic di Samsun, Turki, dua tahun lalu.

Terdahulu dia mengatasi seorang lagi pemain tuan rumah, Tu Wen-Hsuan 21-15, 21-6 dalam aksi suku akhir, Jerlin Jayaratchagan (India) pada pusingan ketiga 21-19, 21-15 dan Sophie Bula (Switzerland) 21-6, 21-6 pada pusingan kedua.

Rakan senegara Wei Ying, Foo Zu Tung pula terkandas seawal pusingan kedua kepada Olga Dormidontova dari Rusia 14-21, 21-15, 13-21.

Semalam, gandingan mereka juga disekat beregu wanita tuan rumah, Fan Jung-Yu dan Shjen Yan-Ru 15-21, 21-17, 19-21 pada suku akhir.

Pusingan pertama menyaksikan beregu negara dibimbing bekas pemenang emas Sukan SEA 2009, Sabrina Chong Shook Chin menang 21-14, 21-12 terhadap pasangan Turki, Hale Nur Kucuksevgili-Gizem Nur Uludag.

Mereka juga muncul naib juara liga Kumpulan C dengan mengalahkan Jayasri Nalluri Neethu-Udayakumar Vijayakumari (India) 21-7, 21-4 namun ditewaskan Manami Nagahara-Chihiro Numakura dari Jepun, 17-21, 21-18, 17-21.

 

 

Berita Harian X