Selasa, 23 Julai 2019 | 5:33pm
AIFA Azman

Skuad wanita negara sasar lebur rekod tanpa kalah Mesir

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara bertekad untuk meleburkan rekod tanpa kalah Mesir dalam acara berpasukan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Dunia Yayasan CIMB 2019 di Pusat Skuasy Nasional, di Bukit Jalil dari 30 Julai hingga 8 Ogos ini.

Juara Terbuka Remaja British sebanyak tiga kali, Aifa Azman berkata pasukan Mesir muncul juara untuk enam edisi lepas dan Malaysia kali ini mahu menebus kekalahan pada edisi 2017 di pentas final.

"Kami tidak berasa tekanan kerana kami melangkah ke final dalam edisi sebelumnya. Jadi kami hanya perlu berlatih keras dan mempunyai persefahaman antara satu sama lain, hanya dengan cara itu kami dapat menjadi pasukan yang terbaik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aifa juga berhasrat untuk memanfaatkan undian kejohanan dalam acara individu pada kali ini selepas tewas kepada pemain Mesir, Farida Mohamed pada pusingan ketiga edisi tahun lepas di Chennai, India.

Aifa, pilihan ketiga keempat bersama dan mendapat “bye” pada pusingan pertama, akan bertemu sama ada pemain New Zealand, Ella Lash atau pemain Norway, Madeleine Hylland pada pusingan kedua.

Juara Remaja Asia dua kali, Chan Yiwen yang akan beraksi buat kali pertama dalam acara berpasukan berazam untuk meneruskan aksi cemerlang semasa Kejohanan Skuasy Nasional Ohana pada kejohanan ini.

"Saya belajar banyak cara untuk mengubah dan menyesuaikan diri dengan rentak yang berbeza dalam permainan. Walaupun saya tumpas kepada pilihan utama Low Wee Wern pada separuh akhir, ia menjadikan saya lebih bersedia untuk kejohanan ini," katanya.

Chan selaku pilihan kelima kelapan bersama, mendapat “bye” pada pusingan pertama dan akan bertemu pemain Jepun, Erisa Sano Herring pada pusingan kedua dan dijangka mara ke suku akhir untuk berdepan pilihan kesembilan-12 dari Mesir, Sana Ibrahim.

Selain Aifa Azman dan Chan Yiwen, pemain lain yang beraksi ialah Ooi Kah Yan, Noor Ainaa Amani Ampandi, Yee Xin Ying dan Aira Azman dalam acara individu.

Kejohanan remaja dunia akan bermula dengan acara individu lelaki dan wanita dari 30 Julai hingga 4 Ogos dan diteruskan dengan kejohanan berpasukan wanita dari 5 hingga 9 Ogos.

-- BERNAMA

Berita Harian X