X
Isnin, 19 Ogos 2019 | 9:50pm
PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP
PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia, Ee Yi-Yew Sin lepasi pusingan pertama di Switzerland

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Switzerland, sebentar tadi, selepas menewaskan pemain Brazil, Ygor Coelho.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu memastikan tempat ke pusingan 32 terbaik hasil kemenangan 21-17, 21-15 ke atas Coelho dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Basel itu.

Dia yang membuat penampilan pertama pada kejohanan kali ini dan diletakkan sebagai pilihan ke-14 akan bertemu bintang muda China, Lu Guang Zu bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

Guang Zu mara selepas berjaya mengatasi pemain Jerman, Kai Schaefer 21-12, 21-15 dalam aksi pusingan pertama.

"Perlawanan pertama dan perlawanan yang sukar untuk saya. Saya banyak melakukan kesilapan mudah.

"Saya harap malam ini saya boleh mendapat rehat yang secukupnya. Esok, saya akan bertemu Guang Zu, pastinya akan menjadi lebih sukar.

"Jadi, saya akan melakukan apa saja sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan itu," katanya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Volker 21-12, 21-19.

Mereka akan menentang rakan senegara yang kini bergerak secara profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - Foto Reuters
BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. - Foto Reuters

Berita Harian X