Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:19pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

BAM enggan hantar 'penumpang' ke Tokyo

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain dan jurulatih bertanggungjawab di atas prestasi hambar khususnya pemain senior pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata badan induk itu tidak rela untuk sekadar menghantar 'penumpang' pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kecuali Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) yang mara sehingga suku akhir, prestasi pemain kita secara keseluruhannya mengecewakan. Dalam hal ini, bukan saja pemain tetapi jurulatih juga perlu dipersalahkan. 

“Jurulatih tidak boleh lagi memilih jalan selamat, kalau mereka merasakan pemain sedia ada walaupun proses kelayakan Olimpik sedang berjalan tidak boleh mencapai sasaran yang kita tetapkan, mereka seharusnya tidak lagi memberi perhatian kepada pemain berkenaan.

"Saya tidak mahu BAM hanya menghantar penumpang ke Olimpik tahun depan. Jurulatih perlu sedar siapa penumpang dan siapa pemain masa hadapan.

"Mungkin kita boleh fokus kepada pemain muda. Contohnya, Zii Jia yang sentiasa bersikap positif dan mengakui masih ada jurang antara dia dengan pemain dunia yang lain dan yang paling penting sanggup untuk bekerja keras.

"Begitu juga Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) yang mengambil tanggungjawab selepas kekalahan dialami mereka. 

"Cuma, pemain senior saja yang rasa seperti tiada apa yang berlaku. Mereka terlalu cepat berpuas hati dan berada dalam zon selesa, ini perlu berubah," kata Norza kepada BH Sukan.

Beliau memberitahu, satu 'post mortem' dan tindakan drastik perlu dilakukan bagi membolehkan perubahan dilakukan menjelang Tokyo 2020.

"Sekiranya kita tidak melihat secara terperinci mengenai kegagalan ini, saya fikir kita tidak akan mampu mewujudkan persaingan sengit pada Olimpik tahun depan.

"Jurulatih perlu sedar mengenai hakikat ini. Mereka perlu cari jalan bagi mengurangkan jurang antara pemain kita dengan pemain dunia yang lain.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) dan Datuk Kenny Goh (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM yang baru) bagi melihat perkara ini secara mendalam.

"Pihak pengurusan sudah melakukan yang terbaik dari aspek menyediakan segala kemudahan. Kini, pemain dan jurulatih pula yang perlu laksanakan tugas mereka," katanya.

 

 

Berita Harian X