Rabu, 28 Ogos 2019 | 10:31pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sandaran BAM. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Zii Jia, Joo Vern sandaran terbaik BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu melakukan eksperimen di Sukan SEA Filipina 2019 apabila membayangkan menurunkan barisan perseorangan lelaki terkuat untuk temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Daripada empat pemain perseorangan lelaki disenaraikan ke temasya dwi-tahunan itu, sandaran terbaik digalas Lee Zii Jia dan Soong Joo Vern.

Sementara Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King turut berada dalam senarai pemain yang akan ke Filipina, namun langkah itu lebih kepada usaha BAM memberikan pendedahan awal buat dua bintang muda dalam pembikinan itu.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bagaimanapun berkata pintu masih belum tertutup untuk kedua-dua pemain muda itu beraksi dalam acara individu. 

"Buat masa ini peluang untuk mereka beraksi sebagai pemain perseorangan lelaki agak tipis. Kita harus faham mengenai tahap permainan mereka.

"Memang setakat ini banyak peningkatan ditunjukkan kedua-dua pemain itu tapi masih jauh untuk mereka sampai tahap tertinggi.

"Begitupun, mereka mempunyai lagi dua bulan untuk buktikan sebaliknya kerana kami (jurulatih) masih meneliti prestasi mereka dan jika gagal menonjol kita mungkin kekal dengan Zii Jia dan Joo Vern," kata Choong Han ketika ditemui pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Langkah sumbang dilalui kem badminton negara pada edisi 2017 Kuala Lumpur apabila sekadar merangkul satu pingat emas menerusi perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Malah, untuk perseorangan lelaki menyaksikan Malaysia langsung tidak mempunyai wakil di pentas separuh akhir sekali gus boleh dianggap antara pencapaian terburuk sejak badminton dipertandingkan pada edisi 1959.

Berita Harian X